Pekerja warga Indonesia didenda RM50,000 simpan burung dilindungi

Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di KLIA Terminal 2 pada Isnin, berhubung kes menyimpan burung dilindungi.
Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di KLIA Terminal 2 pada Isnin, berhubung kes menyimpan burung dilindungi.
A
A
A

SEPANG – Tindakan seorang pekerja kontrak bangunan warga Indonesia menyimpan lima burung dilindungi, sewah tahu, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadapnya.

Bapa kepada empat anak, Abdul Latif, 48, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Latif didakwa menyimpan lima burung sewah tahu atau Asian Koel (Eudynamys scolopaceus), iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, tanpa permit khas.

Kesalahan itu dilakukan di Gate Q7, Pelepasan Antarabangsa Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada jam 9 pagi, 10 Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum bawah Seksyen 68(1) akta sama. Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Hasil pemeriksaan terhadap bagasi milik tertuduh di lokasi kejadian menemui lima hidupan liar itu yang dikurung dalam lima bekas paip polyvinyl chloride (PVC) secara berasingan. Pegawai penguat kuasa menerangkan kesalahan yang dilakukan di bawah peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar sebelum tertuduh dibawa ke Balai Polis KLIA2.

Laporan pengecaman spesies hidupan liar pada 12 Mac lalu mengesahkan bahawa haiwan yang disita adalah burung yang dilindungi.

Abdul Latif yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman denda ringan kerana perlu menanggung empat anak, termasuk tiga yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

"Saya boleh bayar denda, tapi tolonglah kurangkan sebab saya juga perlu menyara anak yang masih kecil bersama isteri di kampung," katanya.

Pegawai Pendakwa Perhilitan, Suhaina Abd Rashid, mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berat memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Hidupan liar ini merupakan mangsa bisu yang tidak mampu bertindak terhadap penjenayah yang melakukan kekejaman dan kesakitan terhadap mereka.

"Kes ini membabitkan kepentingan awam memandangkan hidupan liar merupakan khazanah negara yang perlu dipelihara," katanya.

Ketika prosiding, Hakim Ahmad Fuad Othman menegaskan bahawa hukuman minimum bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah RM50,000.

Hakim: Abdul Latif, adakah kamu tahu bahawa denda minimum di bawah seksyen itu ialah RM50,000?

Abdul Latif: Tolonglah kurangkan denda, saya memang salah.

Hakim: Mengikut peruntukan, seksyen itu membawa hukuman denda minimum RM50,000. Jika saya kurangkan menjadi RM5,000 atau RM49,900.90 sekalipun, ia tetap tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!