Ops Penyu 1.0: 24 individu diberkas, dadah bernilai RM50,000 dirampas

Mat Zani
Mat Zani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 24 individu disyaki pengedar dadah diberkas dalam Ops Penyu 1.0 di Terengganu dan Kelantan pada 6 Mac hingga 12 Mac lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM50,000.

"Kita merampas 2,411 biji pil yaba, 100 biji pil erimin 5, 26 biji pil ekstasi dan 500 gram ganja," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya telah melancarkan operasi yang menyasarkan tiga zon utama, iaitu Dungun, Setiu dan Besut di Terengganu serta Pasir Puteh di Kelantan.

"Sindiket itu menggunakan modus operandi menyeludup bekalan dadah melalui sempadan Pantai Timur untuk pasaran tempatan, khususnya dalam kalangan nelayan," katanya.

Beliau berkata, seramai 13 individu daripada jumlah yang ditahan didapati positif dadah methamphetamine, amphetamine dan morfin.

"Siasatan lanjut mendapati 21 suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu memberi impak positif dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang masih bebas, manakala sebanyak 15 individu berpotensi diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan iaitu Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi hotline JSJN di talian 012-208 7222," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!