Kes Zayn Rayyan: Saksi nafi terima tekanan pihak atasan

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf (dua, kiri) dan Zaim Ikhwan Zahari (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf (dua, kiri) dan Zaim Ikhwan Zahari (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – Bekas pegawai penyiasat kanan menafikan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa pasukannya menerima tekanan daripada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin dengan segera.

Saksi pendakwaan kelima (SP5), Asisten Superintenden Nor Zaharuddin Sanip, menyatakan demikian ketika perbicaraan kes pengabaian yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu, beliau menegaskan bahawa tiada tekanan daripada mana-mana pihak atasan kerana mereka hanya menjalankan tugas berkaitan kes orang hilang.

Sidang Akhbar dan Pertuduhan Pindaan

Peguam: Adakah tuan tahu bahawa sidang akhbar telah diadakan oleh Ketua Polis Negeri dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung kes ini?

Nor Zaharuddin: Tahu, tetapi saya tidak menyertai sidang akhbar itu kerana bercuti sakit selepas dijangkiti Covid-19.

Peguam: Maklumat yang disalurkan dalam sidang akhbar itu merupakan hasil siasatan?

Nor Zaharuddin: Ya, betul.

Artikel Berkaitan:

Peguam: Bagaimana pula dengan pertuduhan pindaan? Ia menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh berada di Blok R dan anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai selama 48 jam. Itu tidak tepat kerana mereka tidak berada di lokasi itu sepanjang masa.

Nor Zaharuddin: Betul.

Peguam: Setuju dengan cadangan saya bahawa pangsapuri empat tingkat itu merupakan kawasan padat?

Nor Zaharuddin: Betul.

Peguam: Jadi, setiap penghuni Blok R adalah suspek?

Nor Zaharuddin: Betul.

Peguam: Polis juga telah mengambil sampel darah hampir 250 penghuni bagi tujuan ujian DNA (asid deoksiribonukleik)?

Nor Zaharuddin: Betul.

Peguam: Polis turut merampas pelbagai senjata seperti pisau, gunting dan tali?

Nor Zaharuddin: Yang itu saya tidak tahu.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi tersebut menjelaskan bahawa beliau bersetuju semua penghuni Blok R merupakan suspek kerana terkhilaf dengan soalan yang diajukan pihak pembelaan.

"Tadi saya keliru kerana penglibatan saya hanya berkaitan kes orang hilang, jadi tiada suspek dalam kes kehilangan Zayn Rayyan.

"Maksud saya bahawa semua adalah suspek adalah dalam konteks kes selepas ia diambil alih oleh pegawai polis lain, selepas mayat Zayn Rayyan ditemui," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jawapan mengenai ketidaktepatan kertas pertuduhan hanya merujuk kepada cadangan peguam yang menggunakan perkataan ‘sepanjang masa’.

Saksi ini bersetuju bahawa kedua-dua tertuduh tidak berada di Blok R, Pangsapuri Idaman, sepanjang 48 jam bermula jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.

Beliau tidak mengetahui sama ada mereka berada di tempat kejadian kerana beliau terlibat dalam misi pencarian Zayn Rayyan.

Pertuduhan dan Hukuman

Pasangan suami isteri tersebut yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!