Inspektor tunjuk reaksi wajah 'kosong’ ibu Zayn Rayyan di mahkamah

PETALING JAYA - Bekas pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, menunjukkan reaksi wajah 'kosong’ membabitkan ibu kanak-kanak itu di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, bertindak demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.
Nina Syamimi, 33, juga bersetuju dengan cadangan peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu, bahawa seseorang yang berdepan dengan sebarang situasi akan menunjukkan reaksi yang berbeza.
Peguam: Ketika prosiding lalu, inspektor memberitahu mahkamah bahawa Ismanira menunjukkan reaksi wajah ‘kosong’. Bolehkah tunjukkan bagaimana mimik itu?
Nina Syamimi: Begini. (saksi menunjukkan reaksi berkenaan kepada mahkamah)
Peguam: Jadi itu wajah 'kosong'?
Nina Syamimi: Ya.
Peguam: Inspektor sedarkah, semasa kamu menunjukkan demonstrasi muka ‘kosong’, raut wajah kamu ketika memberi keterangan adalah sama?
Nina Syamimi: Tidak.
Pada 5 Februari lalu, saksi yang kini bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, berkata, semasa proses rakaman percakapan berlangsung, wajah Ismanira Abdul Manaf kelihatan ‘kosong’.
Nina Syamimi berkata, maksud ‘kosong’ itu ialah tiada sebarang reaksi daripada pengadu, yang juga ibu kepada kanak-kanak autisme berkenaan, pada ketika itu.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokan harinya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

