Pertuduhan dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan tidak cacat - Hakim

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Petaling Jaya. Foto Bernama
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Petaling Jaya. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menolak bantahan awal dikemukakan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism itu, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tidak cacat dan mengikut peruntukan undang-undang.

“Tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan tertuduh dinafikan untuk membangkitkan pembelaan sewajarnya.

“Oleh itu, bantahan awal dikemukakan pembelaan ini ditolak, kes untuk bicara akan bermula 2 petang ini,” katanya.

Prosiding perbicaraan hari petama yang dijadualkan bermula jam 9 pagi ini dianjak ke jam 2 petang, selepas pihak pembelaan yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu, membuat bantahan awal terhadap pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira menghujahkan, cara pengabaian yang tertera dalam pertuduhan tidak memperincikan cara anak guamnya melakukan kesalahan berkenaan.

“Jika mahkamah merujuk pertuduhan dihadapi tertuduh-tertuduh dalam kes jenayah pengabaian yang lain, ia telah dijelaskan dengan lengkap.

“Tertuduh sama ada didakwa mengabai hingga mengundang maut dengan cara memukul, menyebabkan seorang kanak-kanak terkurung dalam van sekolah atau tidak bawa anak yang sakit ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, perincian cara pengabaian dihadapi anak guamnya, tidak dinyatakan dalam pertuduhan, menyebabkan hak amereka diprejudiskan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pertuduhan perlu dihuraikan dengan lengkap dan bukan sekadar menambah perkataan ‘mungkin menyebabkan kecederaan’.

“Pendakwaan perlu tulis sama ada pengabaian berlaku apabila kanak-kanak ini lari dari rumah seorang diri atau, tertuduh telah membiarkan anak di suatu tempat tanpa pengawasan orang dewasa.

“Bagi kes pengabaian, elemen-elemen kesalahan perlu dinyatakan dengan lengkap, dan ia berbeza dengan kes bunuh yang mana perincian cara pembunuhan tidak didedahkan dalam pertuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz berkata, elemen kesalahan yang akan dibuktikan ialah mangsa berada di bawah jagaan kedua-dua tertuduh, didakwa melakukan pengabaian yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Katanya, kes ini akan dibuktikan dalam perbicaraan kelak, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan.

“Jika mahkamah merujuk pertuduhan dihadapi tertuduh kes lain contohnya kes mengabai kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, kes dihadapi Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali juga tidak menyatakan elemen kesalahan dengan terperinci.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu, kerana pertuduhan yang dihadapi Siti Bainun tidak cacat,” katanya.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!