Pendakwaan pinda pertuduhan kes pengabaian Zayn Rayyan

PETALING JAYA – Pihak pendakwaan bagi kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin memohon untuk meminda pertuduhan yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Semasa perbicaraan kes pengabaian membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa salinan pertuduhan pindaan telah diserahkan kepada pembelaan.
Pindaan itu membabitkan lokasi kejadian daripada sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini kepada sekitar Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan kediaman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memohon kepada mahkamah untuk meminda pertuduhan selaras dengan peruntukan Seksyen 158 dan 173(i) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
“Mohon pertuduhan dibacakan dan diterangkan semula kepada kedua-dua tertuduh,” katanya.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh kemudiannya membenarkan perkara terbabit.
Ketika pertuduhan pindaan dibacakan, pasangan berusia 30 tahun itu mengulangi pendirian tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebagai tambahan kepada hukuman, mahkamah boleh memerintahkan individu yang disabitkan atas kesalahan itu untuk menyempurnakan bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik dalam tempoh dan syarat yang difikirkan wajar oleh mahkamah, termasuk melaksanakan khidmat masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!