Ismanira gagal jawab minat Zayn Rayyan - Polis

PETALING JAYA – Bekas pegawai penyiasat kanan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa ibu kanak-kanak autisme itu gagal menjawab pertanyaan pihak polis ketika keterangannya diambil pada 5 Disember 2023.
Saksi pendakwaan kelima (SP5), Asisten Superintenden Nor Zaharuddin Sanip berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan, membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi berusia 42 tahun itu berkata, beliau telah mengajukan beberapa soalan kepada Ismanira sejurus tiba di lokasi kejadian pada jam 10 malam.
Pendakwaan: Sebentar tadi, peguam bagi kedua-dua tertuduh mencadangkan bahawa ketika tuan tiba di pangsapuri itu, bekas pegawai penyiasat kes orang hilang, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin telah mengambil keterangan Ismanira. Mengapa tuan tidak bersetuju dengan kenyataan itu?
Nor Zaharuddin: Ini kerana, ketika saya sampai, Inspektor Nina Syamimi berada dalam kereta peronda polis (MPV). Untuk mengambil keterangannya, saya bertanya kepada tertuduh bagaimana Zayn Rayyan hilang, bagaimana kejadian berlaku dan apakah minat anaknya.
Bagaimanapun, saksi yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara berkata, Ismanira tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut.
Nor Zaharuddin: Jadi, saya arahkan Inspektor Nina Syamimi supaya meneruskan rakaman percakapan dalam kereta.
Pendakwaan: Peguam juga mencadangkan bahawa terdapat maklumat yang menyatakan Zayn Rayyan merayau-rayau di Blok R. Tuan pula menjawab bahawa tuan mengetahui perkara itu pada petang 5 Disember.
Nor Zaharuddin: Ya.
Pendakwaan: Tuan kemudiannya menyatakan bahawa mereka telah mencari kanak-kanak itu di kawasan sekitar. Siapakah yang tuan maksudkan dengan ‘mereka’?
Nor Zaharuddin: Penduduk dan ketua blok.
Dalam pada itu, saksi turut memaklumkan bahawa hebahan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook membantu dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Beliau bersetuju bahawa sebaran maklumat mengenai keberadaan Zayn Rayyan di kawasan sekitar merupakan elemen penting dalam siasatan kes ini.
Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, namun telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemukan terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada jam 2 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!