Operator Bas.My diarah segera selesai masalah pembayaran tanpa tunai

SEREMBAN - Operater perkhidmatan Bas.My digesa mengatasi masalah pembayaran tanpa tunai dihadapi penumpang.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar memaklumkan, menerima aduan berkaitan masalah menggunakan kad konsesi, kad kredit dan kad debit ketika menggunakan perkhidmatan itu.
Menurutnya, pihaknya sendiri telah turun ke Terminal 1 Seremban untuk membuat pemeriksaan berkaitan aduan diterima melalui Facebook.
"Saya telah cuba menggunakan kad debit dan kad konsesi Bas.My di beberapa bas dekat sana dan kebanyakannya tiada masalah dan boleh menggunakan semua kad untuk pembayaran.
"Namun ada beberapa bas mempunyai masalah dalam menggunakan kad tersebut dan saya telah menghubungi operator memaklumkan masalah tersebut serta meminta untuk ambil tindakan segera," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau berharap, masalah itu dapat diselesaikan segera agar pengguna dapat menggunakan kemudahan itu dengan lebih mudah.

Ujar beliau, perkhidmatan itu di Negeri Sembilan mempunyai lebih kurang 90 bas baharu meliputi semua daerah.
"Warga emas, pelajar sekolah sehingga universiti dan OKU (orang kurang upaya) boleh menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma.
"Selain itu, warganegara Malaysia juga boleh menggunakan Kad Perjalanan Tanpa Had yang berharga RM50 dan menggunakan perkhidmatan Bas.My tanpa had untuk 30 hari," ujar beliau.
Februari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pengguna mempersoalkan sistem pembayaran tambang sebuah bas awam di negeri ini selepas pemandu bas dikatakan tidak memulangkan wang baki sebanyak 40 sen selain hanya diberikan resit bayaran apabila diminta.
Pengadu turut memaklumkan pembayaran tanpa tunai menggunakan kad kredit turut tidak berfungsi selepas pemandu bas berkenaan memberitahu sistem tersebut belum boleh digunakan sepenuhnya disebbakan isu liputan rangkaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

