JKNK periksa 70 premis disyaki jual gula-gula kenyal

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MACHANG - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sudah memeriksa 70 premis di seluruh negeri yang disyaki menjual gula-gula kenyal berbentuk mata yang dipercayai mengakibatkan seorang kanak-kanak meninggal dunia 20 Februari lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebanyak 13 premis diperiksa di daerah Tumpat, Bachok (11), Pasir Puteh (10) dan lapan di Kota Bharu.

Dr Zaini (tengah) menyampaikan cenderamata kepada peniaga di bazar Ramadan di Dataran Kenanga
Dr Zaini (tengah) menyampaikan cenderamata kepada peniaga di bazar Ramadan di Dataran Kenanga

Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan di enam premis di daerah Gua Musang dan lima premis membabitkan daerah Pasir Mas, Machang dan Jeli manakala empat di Kuala Krai serta tiga di Tanah Merah.

"Operasi dilakukan selama seminggu bermula 22 Februari di premis di kawasan sekolah, pasar raya dan kedai serbaneka.

"Satu daripada premis yang diperiksa dikenakan kompaun membabitkan kesalahan pelabelan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Walkabout Bazar Ramadan 2025 dan Pelancaran Kod QR Aduan Kebersihan Premis Makanan di Dataran Kenanga pada Isnin.

Dr Zaini memberitahu, pihaknya melakukan pemantauan dan rampasan bermula 22 Februari lalu dan mengenakan tindakan kompuan terhadap sebuah premis di Pasir Mas.

"Pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan gula-gula yang menyalahi akta makanan itu tidak dijual oleh peniaga.

"Ibu bapa turut dinasihatkan supaya memberi perhatian terhadap anak-anak bagi mengelakkan insiden sama tidak berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ( HPP).

Kanak-kanak terbabit dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Mohamad Fahmi Hafiz dikatakan rebah di Kelas -Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA), di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira jam 2.30 petang dua hari sebelum itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!