Gula-gula bentuk vape, jarum suntikan cetus kebimbangan - CAP

GEORGE TOWN - Trend baharu gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan yang semakin banyak dalam pasaran tempatan menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri mampu mempengaruhi kanak-kanak terjebak dalam tabiat merokok dan menghisap vape.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, produk berwarna-warni itu menarik perhatian kanak-kanak seawal usia 3 tahun dan mampu menjadi pintu masuk kepada ketagihan vape apabila mereka meningkat usia.
Menurutnya, kanak-kanak yang tertarik dengan bentuk gula-gula menyerupai peranti vape atau rokok ini akan cenderung untuk terus membelinya sekali gus menormalkan budaya merokok sejak kecil.

“Menurut peniaga, kanak-kanak sering meminta ibu bapa membeli gula-gula ini kerana tertarik dengan coraknya yang menarik.
"Jika dibiasakan sejak kecil, ia boleh membawa kepada keinginan untuk mencuba vape dan rokok apabila meningkat remaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila terdapat juga gula-gula yang menyerupai jarum suntikan yang dilihat boleh memberi gambaran negatif serta mempengaruhi minda kanak-kanak terhadap budaya penyalahgunaan dadah.
"Produk ini semakin berleluasa dalam pasaran sejak enam bulan lalu, malah kekurangan label pada pembungkusannya menyebabkan ramai ibu bapa tidak menyedari bahaya yang tersembunyi di sebaliknya.
“Kanak-kanak bukan sahaja terdedah kepada imej vape dan rokok, tetapi mereka juga sedang belajar bagaimana mengendalikan produk berbentuk peranti tersebut. Ini boleh menyebabkan mereka mudah terjebak dengan tabiat sebenar apabila dewasa kelak,” katanya.
Sehubungan itu, Subbarow berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa untuk segera mengharamkan penjualan gula-gula berbentuk vape dan rokok ini sebelum ia menjadi ‘wabak’ yang lebih besar dalam kalangan kanak-kanak.
"Kita juga ingin menyarankan Kementerian Kesihatan mengkaji semula larangan sepenuhnya terhadap vape, e-rokok dan rokok, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu mengambil langkah tegas bagi menyekat penjualan produk ini di pasaran tempatan serta dalam talian.
“Jika tindakan tidak diambil segera, kita bakal berdepan dengan generasi muda yang bukan sahaja ketagih kepada nikotin, malah kehilangan sensitiviti terhadap bahaya merokok dan vape,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

