Pelajar maut tercekik gula-gula kenyal: Kerajaan negeri sedia ambil tindakan tegas

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang sedia mengambil tindakan tegas dalam menangani penjualan makanan ringan berupa gula-gula kenyal jenis 'Gummy' di setiap kawasan berhampiran sekolah di negeri ini.
Perkara itu ditekankan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen susulan insiden kematian seorang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal jenis ‘Gummy’ pada 18 Februari lalu.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati gula-gula tersebut dipercayai dibeli dari sebuah gerai berhampiran sekolah.
"Susulan itu, pemeriksaan telah dijalankan dan pihak berkuasa menemui produk ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ di sebuah premis di Jalan Sungai Dua.
"Produk berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
"Kerajaan negeri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa serta berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Malam Khamis, Mohamad Fahmi Hafiz yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamad Fahmi berada dalam keadaan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Mengulas lanjut, Gooi menegaskan JKNPP kini sedang menyiasat aspek keselamatan produk makanan ini dan tindakan selanjutnya akan diselaraskan dengan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau turut menasihati ibu bapa agar lebih berwaspada dalam pemantauan pemakanan anak-anak, terutama yang berisiko tinggi menyebabkan kejadian tercekik.
Tambah Gooi, JKNPP akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.
"Ibu bapa perlu memastikan makanan yang diberikan kepada anak-anak berada di bawah pengawasan mereka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

