'Doktor' warga asing sewa kondo tawar pembedahan plastik

Ruangan khas bagi melakukan rawatan pembedahan plastik di sebuah unit kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Ruangan khas bagi melakukan rawatan pembedahan plastik di sebuah unit kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan tawar rawatan pembedahan kosmetik haram yang dilakukan 'doktor' warga asing di dua unit kondominium di Desa Petaling dan Bukit Jalil di sini, dibongkar, pada Isnin.

Serbuan Op Dandan dilakukan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur bermula jam 11 pagi, hasil maklumat dan risikan.

Difahamkan, tawaran perkhidmatan itu dipromosikan di aplikasi TikTok.

Antara tawaran yang diberikan 'doktor' itu ialah pembedahan memancungkan hidung dan alis mata dengan tawaran harga sekitar RM1,000 hingga RM15,000 bergantung jenis rawatan. Ubat-ubatan di premis berkenaan juga disyaki dibawa masuk dari luar negara.

Seorang warga tempatan yang mendakwa sebagai ejen berkata, dia menerima bayaran berdasarkan komisen.

"Saya terima lima hingga 10 peratus komisen setiap rawatan yang dibuat pelanggan," katanya ketika ditemui selepas ditahan di sebuah unit kondominium di Desa Petaling di sini pada Isnin.

Tinjauan di dalam premis itu mendapati terdapat satu ruangan bilik khas dengan dilengkapi katil rawatan serta peralatan bagi menjalankan setiap prosedur pembedahan plastik.

Malah, peralatan pembedahan seperti pisau dan gunting disimpan di dalam ketuhar yang diletakkan di bawah katil.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Imigresen Kuala Lumpur melaksanakan proses dokumentasi terhadap individu yang ditahan di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.
Pegawai Imigresen Kuala Lumpur melaksanakan proses dokumentasi terhadap individu yang ditahan di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dua serbuan serentak ini menahan sembilan warga Vietnam termasuk dua wanita selain dua warga tempatan disyaki sebagai ejen

"Premis unit kondominium di Bukit Jalil menahan enam orang membabitkan lima Vietnam dan seorang tempatan, manakala serbuan kedua di Desa Petaling menahan empat orang melibatkan empat Vietnam dan seorang tempatan.

"Siasatan mendapati dua unit kediaman ini mempunyai kaitan, namun menggunakan nama syarikat yang berbeza," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kondominium itu dipercayai disewa dengan harga RM2,600 sebulan dan aktif sejak setahun.

"Semakan mengesyaki 'doktor' warga Vietnam ini tidak mempunyai sijil atau kelulusan untuk melakukan prosedur rawatan terbabit," ujarnya.

Tegasnya, warga tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga Vietnam disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!