Penjaja warga asing di Pasar Borong KL diserbu

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas dalam memastikan ibu kota bebas aktiviti penjajaan tanpa lesen dengan mengadakan operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur dan sekitar Pusat Bandar Utara di ibu negara.
Dalam serbuan mengejut ini, DBKL menyita tiga perniagaan yang beroperasi tanpa lesen, yang didapati dikendalikan oleh warga asing.
Kesemua barangan perniagaan mereka telah dirampas dan dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tindakan lanjut.

Operasi ini dijalankan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Penjajaan (WPKL) 2016, dengan tujuan memastikan persekitaran bandar lebih tersusun, bersih, dan selamat untuk warga tempatan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, tindakan tersebut bukan sahaja bertujuan membanteras penjajaan haram, tetapi juga untuk mengekang kebanjiran warga asing yang mengambil alih ruang niaga tanpa kebenaran.

"DBKL akan terus memperketat pemantauan dan menggempur lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai pusat penjajaan haram. Kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar peraturan," ujar DBKL di laman Facebooknya.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau ingin melaporkan aktiviti penjajaan tanpa lesen boleh menyalurkan maklumat menerusi pautan adukl.dbkl.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

