Kehadiran pengemis warga asing ganggu suasana berbuka puasa di Padang MBK 1

Pengemis warga asing menghampiri pengunjung yang sedang berehat di Padang MBK 1 sebelum berbuka.
Pengemis warga asing menghampiri pengunjung yang sedang berehat di Padang MBK 1 sebelum berbuka.
A
A
A

KUANTAN – Kehadiran pengemis warga asing di sekitar Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK 1) menimbulkan keresahan dalam kalangan pengunjung, terutama ketika mereka sedang menikmati suasana sebelum azan Maghrib.

Tinjauan Sinar Harian selama hampir 30 minit di lokasi mendapati seorang lelaki berbaju Melayu berwarna ungu dan memakai pelitup muka beberapa kali menghampiri pengunjung sambil menghulurkan bekas meminta sedekah.

Tindakan individu itu menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai yang sedang menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa, namun ada segelintir pengunjung cuba mengelak daripada dihampiri.

Pesara, Mubin Bakar, 53, berkata, jumlah warga asing yang bergelandangan di sekitar Kuantan semakin meningkat dan boleh menjejaskan imej bandar ini sebagai ibu negeri Pahang.

Menurutnya, golongan itu turut mengambil kesempatan terhadap kemurahan hati masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

"Saya lihat isu ini semakin serius kerana tiada kawalan. Mereka bukan sahaja mengganggu orang ramai, tetapi juga mencemarkan nama Kuantan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada petang Rabu.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 37 saat di laman sosial Facebook yang menunjukkan kelibat lelaki berbaju Melayu ungu meminta sedekah dengan menghampiri pengunjung.

Mubin turut mencadangkan agar operasi besar-besaran dijalankan bagi menangani isu ini sebelum ia menjadi lebih serius.

"Dulu pernah ada operasi yang melibatkan gabungan pelbagai jabatan. Saya rasa sudah tiba masanya untuk melaksanakan semula operasi seperti itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi membersihkan Kuantan daripada pengemis warga asing, golongan gelandangan, dan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah. Kalau diperhatikan, mereka ini seolah-olah bebas bergerak tanpa kawalan," ujarnya.

Lelaki terbabit menghampiri pengunjung di padang MBK1 untuk meminta sedekah.
Lelaki terbabit menghampiri pengunjung di padang MBK1 untuk meminta sedekah.

Menurut Muhammad Shahmin Sharifuddin, 38, masalah pengemis warga asing kini semakin ketara dan memberi kesan negatif kepada negara.

Dia yang bertugas dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata kehadiran mereka bukan sahaja mengganggu pengunjung, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap negara.

"Pengemis ini memberi impak negatif kerana mewujudkan tanggapan bahawa aktiviti meminta sedekah dijadikan sumber pencarian utama. Ini bukan sesuatu yang baik," katanya.

Mengulas mengenai lelaki berbaju ungu yang meminta sedekah di Padang MBK 1, Muhammad Shahmin berkata perkara itu bersifat subjektif dan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

"Jika ada keperluan yang benar-benar wajar, mungkin boleh dipertimbangkan.

"Namun, jika keadaannya mencurigakan atau berlebihan, kita perlu fikir dahulu dan siasat sebelum bertindak," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Mustafa Abdullah, 45, pula mendakwa pengemis warga asing sering meminta sedekah di kawasan bazar dan masjid sekitar Kuantan.

Katanya, mereka adalah individu yang sama dan sering memaksa orang ramai agar menghulurkan sedekah.

"Pernah nampak golongan ini membuka beg macam beg sekolah, penuh dengan duit... Memang 'masyuk', ramai yang memberi.

"Mereka pula jenis menunggu lama-lama supaya kita beri RM1 atau RM2," ujarnya.

Sehubungan itu, bapa kepada lima anak ini berharap pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!