RUU PSB: Selesaikan isu Kampung Sungai Baharu dulu, kata Tun M

PUTRAJAYA - Kerajaan perlu buktikan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak menjejaskan hak orang Melayu dengan menyelesaikan isu di Kampung Sungai Baharu, Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika ini sukar untuk mempercayai jaminan kerajaan bahawa pindaan undang-undang berkenaan tidak akan menjejaskan orang Melayu di bandar.
"Dalam proses sekarang ini terutama undang-undang baharu nak diperkenalkan, hanya orang kaya sahaja tinggal di bandar, orang Melayu nak pergi mana?
"Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar kata, RUU PSB tidak akan halau orang Melayu (sedangkan) orang ini selalu cakap bohong, macam-macam dia janji tetapi satu pun tidak buat.
"Adakah kerajaan perlu buktikan dahulu dengan selesaikan isu Kampung Sungai Baharu kalau nak yakinkan rakyat?," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, pada Isnin.
Sebelum ini Anwar dalam sidang Dewan Rakyat menegaskan, RUU PSB yang dicadangkan tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir mana-mana pemilik harta asal, tanpa mengira etnik.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, tidak akan ada peruntukan di bawah RUU berkenaan yang membenarkan pengusiran pemilik harta bandar.
Dalam pada itu Tun Mahathir mendakwa, orang Melayu di negara ini akan menerima nasib sama dengan orang Melayu di Singapura sekiranya RUU PSB itu dilaksanakan.
Malah menurut beliau, Kampung Melayu di negara jiran itu sudah tidak wujud selepas diambil oleh pemaju dengan penempatan orang Melayu dipecahkan supaya mereka tidak dapat bersatu.
"Kononnya nak ambil contoh Singapura, dahulu mereka ada Kampung Melayu, sekarang dah hilang, diambil alih pemaju-pemaju (bina) rumah mewah, bangunan pencakar langit dan sebagainya.
"Inilah yang akan berlaku di Malaysia jika jadikan Singapura sebagai contoh," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!