PSB: Pembaharuan bandar perlu dilakukan tapi bukan keluarkan orang Melayu - Tun M

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju sekiranya orang Melayu dikeluarkan dari bandar demi melakukan pembaharuan bandar.
Beliau mendakwa, jika perkara itu dilakukan pemisahan kaum antara Melayu dan bukan Melayu di bandar akan menjadi lebih luas.
"Apabila penduduk miskin dikeluarkan, pembaharuan tentu jenis yang mewah. Si miskin tidak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi. Maka berkuranglah penduduk Melayu dalam bandar.
"Usaha bekas Perdana Menteri, Tun (Abdul) Razak (Hussein) untuk perbanyakkan orang Melayu dalam bandar akan terhapus. Bandar akan jadi tempat orang bukan Melayu," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, ramai pihak khususnya pembangkang membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.

Kerajaan sebelum ini bercadang membentangkan RUU PSB pada Jun atau Julai tahun ini yang mana antara cadangan utamanya adalah menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dimulakan.
Melalui cadangan baharu di bawah RUU PSB, kelulusan bagi pembangunan semula dijangka lebih mudah diperoleh, namun dibimbangi memberi kesan kepada pemilik asal tanah dan hartanah.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan, pembaharuan bandar perlu dilakukan tetapi caranya bukanlah dengan mengeluarkan orang Melayu dari bandar.
Mengambil contoh perancangan pembaharuan bandar di Singapura, beliau memberitahu, semua kampung-kampung Melayu di negara tersebut diambil alih dan dibangunkan pangsapuri mewah.
"Penduduk kampung diagihkan di antara pangsapuri di tempat-tempat lain secara berkecamuk.
"Orang kampung Melayu tidak lagi hidup bersama. Mereka ditenggelamkan ke dalam perumahan yang majoriti bukan Melayu.
"Dengan ini kuasa politik orang Melayu terjejas. Perkara yang sama akan berlaku jika contoh Singapura ini ditiru. Jumlah orang Melayu dalam bandar akan kurang," ujarnya.
Katanya, seandainya orang Melayu hidup terpencil di luar bandar, segala kemudahan bandar akan terus tidak dinikmati oleh mereka selain perpaduan kaum juga tidak akan berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

