Pemuda Pas bantah cadangan RUU PSB

SHAH ALAM - Pemuda Pas merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri menyifatkan RUU PSB sebagai satu bentuk penjajahan moden yang bakal mengusir penduduk bandar dari tanah mereka, seakan-akan strategi yang pernah digunakan terhadap rakyat Palestin.
"RUU PSB ini secara tersiratnya akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosio-ekonomi dan menindas hak-hak golongan tertentu.
"Ia juga memberi kelebihan kepada pemaju atas nama pembaharuan semula bandar. Namun penduduk bandar, khususnya yang berpendapatan rendah akan terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Hafez, inisiatif ini berisiko menyebabkan penduduk asal kehilangan hak terhadap tanah mereka sendiri dan cadangan itu mesti dihentikan segera.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Pemuda Pas menyeru seluruh rakyat untuk bersatu dalam menolak RUU berkenaan.
Tambahnya, sayap parti itu juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bagi memastikan suara rakyat didengar serta hak mereka dipertahankan.
Sebelum ini, kerajaan bercadang membentangkan RUU PSB pada Jun atau Julai tahun ini.
Antara cadangan utama adalah menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dimulakan.
Pada masa ini, Akta Hakmilik Strata mewajibkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dijalankan.
Dengan cadangan baharu ini, kelulusan bagi pembangunan semula dijangka lebih mudah diperoleh, namun dibimbangi memberi kesan kepada pemilik asal tanah dan hartanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

