PSB mampu selesaikan masalah hartanah terbiar, usang


SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan membolehkan kerajaan mempunyai kuasa membangunkan bandar secara lebih sistematik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kassim berkata, sebelum ini perbincangan untuk melakukan pembangunan semula hanya dibuat antara pemaju dan pemilik hartanah sahaja.
Jadi dengan adanya satu jawatankuasa khas diwakili oleh wakil kerajaan akan ada syarat kelayakan berdasarkan penilaian dan bukan bergantung kepada kemampuan kewangan pemaju semata-mata.
“Dengan adanya pembaharuan semula bandar, perkara melibatkan hak milik tanah, strata yang dibangkitkan sejak puluhan tahun diserahkan semula kepada kerajaan untuk menyelesaikannya.
“Saya juga bersetuju sekiranya nilai ambang dipertimbangkan semula kerana kita perlu lihat dari sisi lebih luas iaitu tidak menzalimi majoriti penduduk yang bersetuju,” katanya.
Tambah Muhammad Izuan, RUU PSB memberi pilihan kepada rakyat untuk menentukan kehidupan mereka selain memberi nilai tambah kepada hartanah.
“Berdasarkan survei terhadap 1,500 responden di 37 rumah kos rendah, masalah mereka adalah kes kecurian selain anak muda yang terjebak dengan dadah.
“Walaupun kes itu tidak dapat diselesaikan dengan hanya pembaharuan semula, sekurang-kurangnya kawasan kediaman dilengkapi dengan CCTV, pengawal keselamatan dan ada ruang privasi dengan bilangan bilik yang lebih banyak dalam unit kediaman,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
