Kerajaan Kelantan seru orang ramai jayakan World #QuranHour 2025

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyeru orang ramai untuk sama-sama menjayakan program World #QuranHour 2025 pada 25 Mac ini bertempat di Madinah Ramadan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, sokongan kepada program ini perlu diberikan kerana ia membuka peluang kepada umat Islam untuk lebih mendalami dan menghayati kitab suci itu.
“Al-Quran adalah pedoman dan petunjuk utama bagi umat Islam. Oleh itu, kita perlu menyambut baik sebarang usaha yang memperkukuhkan kefahaman terhadapnya,” katanya semasa Jelajah Kempen World #QuranHour 2025 anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pemilihan surah Al-Saff sebagai tema tahun ini merupakan satu langkah bijak dalam membina kekuatan serta perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Ujarnya, al-Quran menekankan konsep kesatuan di mana umat Islam perlu berpadu kerana hanya dengan bersatu akan menjadi kuat.
"Jika berpecah-belah, maka kekuatan itu akan hilang. Saya berharap rakyat Kelantan tidak melepaskan peluang menghadiri program ini bagi bersama-sama mendengar bacaan ayat suci al-Quran dan menghayati maknanya.
“Kehadiran kita bukan sahaja untuk mendengar bacaan, tetapi juga menghayati maknanya serta berdoa agar Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna dengan peningkatan amal soleh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

