Bimbing generasi muda cinta Islam

SHAH ALAM - Mekanisme dakwah seperti masjid atau pertubuhan masyarakat perlu digerakkan bersama ahli ulama dan masyarakat sivil supaya boleh menjadi pembimbing dalam mendidik anak muda serta melahirkan generasi cinta Islam pada masa akan datang.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia kerana golongan anak muda perlu didedahkan dengan nilai Islam sama ada melalui gaya hidup, amalan, budaya masyarakat secara berterusan supaya selari dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata, melalui pendedahan tersebut, pembentukan integriti dan jati diri sebagai Muslim sejati dapat diterapkan dalam pemikiran generasi berkenaan tanpa dipengaruhi dengan budaya luar serta ideologi sekular.
“Peranan masyarakat dalam mendidik anak muda adalah dengan menjadi contoh dan menunjukkan mereka cara hidup yang berlandaskan ajaran Islam.
“Maknanya, pembentukan masyarakat itu perlu merujuk kepada budaya atau nilai kehidupan yang menjadi tonggak utama dalam Islam itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aspek konsisten dan integriti Muslim menerusi ayat 2 hingga 3 surah al-Saff, yang mana surah berkenaan telah dipilih sempena penganjuran World #QuranHour tahun ini.
Menurut Shamrahayu, kesungguhan dan keupayaan keluarga dalam mendidik anaknya dari peringkat awal turut memainkan peranan penting dalam menanam kefahaman Islam dalam pemikiran mereka.
Katanya, keluarga ibarat fasa permulaan kepada pembinaan negara sebelum menjurus ke arah pembentukan masyarakat.
“Saya lihat Islam sendiri meletakkan cara ajarannya yang menyeluruh. Dari segi pendidikan anak-anak, maksudnya dari kecil mereka telah diasuh supaya mentaati perintah utama iaitu menunaikan solat.
“Untuk kita memahamkan Islam, pertamanya ialah dakwah orang Islam itu adalah melalui perbuatannya. Maknanya dengan cara mereka menampilkan nilai-nilai Islam itu.
“Kefahaman Islam juga memerlukan kepada pemikiran. Institusi seperti universiti termasuk badan agensi kerajaan atau badan pemikir berkaitan Islam perlu bergiat lebih aktif untuk memastikan kefahaman dan keharmonian dalam Islam itu boleh difahami dengan baik tanpa rasa curiga,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

