Satukan ummah berpandukan Surah al-Saff

SHAH ALAM - Program World #QuranHour tahun ini sekali lagi menjadi pemangkin kepada usaha menyatukan ummah berlandaskan ajaran suci al-Quran.
Bertemakan #SavingTheUmmah yang berpaksikan Surah al-Saff, inisiatif ini menyeru umat Islam agar kembali menghayati nilai perjuangan dan kesatuan dalam menegakkan kebenaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, World #QuranHour bukan sekadar bacaan serentak al-Quran tetapi juga platform tadabbur dan tazakkur bagi memahami serta menghayati prinsip al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Program ini bukan hanya tentang membaca al-Quran tetapi bagaimana kita mengamalkannya dalam kehidupan.
"Surah al-Saff menekankan kepentingan disiplin, kesatuan dan perjuangan dalam menegakkan agama ALLAH SWT. Ini selari dengan tema #SavingTheUmmah yang menjadi tunjang penganjuran tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi menghadapi cabaran sekularisme, ekstremisme dan perpecahan, Jakim mengambil langkah proaktif dengan menyokong pelbagai inisiatif bagi memastikan umat Islam terus berpegang teguh kepada al-Quran.
Menurut Mohd Ajib, antara usaha dilakukan termasuk memperkasa pendidikan Islam melalui program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) serta Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).
Selain itu, beliau menegaskan Jakim turut memperkukuhkan program imarah masjid serta institusi pendidikan seperti Darul Quran dalam memperkasakan pendidikan tahfiz.
"Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Kebangsaan juga menjadi manifestasi kepada komitmen kerajaan dalam memupuk budaya membaca dan memahami al-Quran.
"Usaha ini dilengkapi dengan program kesedaran sosial seperti Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) yang menangani isu-isu sosial melalui pendekatan psikospiritual Islam," ujarnya.
Menerusi era digital, penyebaran mesej al-Quran tidak lagi terbatas kepada platform konvensional.
Berikutan itu, Mohd Ajib menyatakan Jakim telah memanfaatkan teknologi dengan menghasilkan kandungan digital interaktif seperti infografik, video pendek dan audio siar berkaitan tafsir al-Quran.
“Platform digital seperti YouTube, Facebook, TikTok dan Instagram menjadi saluran utama untuk memperluaskan jangkauan program ini, terutama dalam menarik penyertaan generasi muda.
"Sesi bacaan al-Quran secara langsung (live streaming) turut diperkenalkan bagi memastikan keterlibatan lebih ramai masyarakat,” tambahnya.
Jelas Mohd Ajib, World #QuranHour bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebuah gerakan transformasi ummah yang berterusan.
Tambahnya, dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi agama serta pihak swasta, program ini mampu menjadi pemacu utama dalam mengukuhkan ukhuwah Islamiah.
Selain itu, beliau menegaskan Jakim turut menggalakkan masjid dan surau di seluruh negara untuk menganjurkan sesi bacaan dan tadabbur al-Quran sebagai sebahagian daripada pengimarahan masjid.
“Jakim menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama menjayakan World #QuranHour sebagai satu gerakan kesatuan dan solidariti Islam.
"Dengan memahami dan menghayati mesej Surah al-Saff, kita dapat memperkukuh ukhuwah dan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan,” ujar Mohd Ajib.
Melalui penglibatan aktif semua pihak, Mohd Ajib menjelaskan World #QuranHour bukan sahaja mampu menyatukan ummah di peringkat nasional, malah memberi impak kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.
"Seiring dengan gagasan Madani, program ini diharap dapat menyuburkan semangat Islam dalam jiwa setiap individu, seterusnya membentuk masyarakat yang kukuh berlandaskan nilai-nilai al-Quran," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
