Teladan kisah Muhajirin, Ansar

Hafidzi
Hafidzi
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menghidupkan kembali semangat perpaduan mahupun hubungan baik seperti Muhajirin dan Ansar perlu bermula dari peringkat komuniti kejiranan, kariah masjid serta surau-surau di taman perumahan terlebih dahulu.

Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, pendekatan tersebut mampu berhasil jika pimpinan memiliki ilmu yang tinggi, akhlak terpuji dan disenangi ramai untuk menerajui sesebuah komuniti contohnya imam atau ahli jawatankuasa masjid.

Menurutnya, individu terpilih mesti dalam kalangan yang berani mengutarakan dan menerima pendapat masyarakat setempat, menegur serta membimbing komuniti ke jalan benar.

“Apabila ditelusuri sejarah Islam tentang Muhajirin dan Ansar, tanpa hubungan persaudaraan pun melakukan pengorbanan tiada tolok bandingnya seperti Ansar membantu Muhajirin yang datang sehelai sepinggang dari Makkah. Tetapi, mereka pula tidaklah ambil kesempatan selepas dibantu.

“Kita sebagai umat Islam kena hayati (mesej disampaikan), kemudian lihat tanggungjawab saling menyantuni dan membela antara satu sama lain sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, umat Islam ibarat satu tubuh.

“Jika sebahagian daripada tubuh manusia sakit, seluruh tubuh sakit sehingga tak boleh tidur malam bak kata pepatah ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’.

“Apa yang berlaku hari ini mungkin disebabkan kebendaan, hedonisme dan sebagainya sampai tak rasa apa-apa kalau orang lain mahupun diri sendiri dizalimi,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian sempena program World #QuranHour yang memasuki sedekad penganjuran tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac dengan Surah al-Saff menjadi surah pilihan.

Artikel Berkaitan:

Surah al-Saff dipilih kerana ia mengandungi seruan supaya umat Islam bersatu dan mencontohi semangat Hawariyyun iaitu pembantu agama ALLAH SWT dalam menyebarkan nilai al-Quran ke seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Hafidzi berpandangan, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan dengan mentauhidkan ALLAH SWT di samping menekankan aspek iman dan amal menerusi solat lima waktu serta menunaikan zakat.

Ditanya mengenai keprihatinan umat Islam sama ada mencukupi atau sebaliknya terhadap saudara seagama, beliau berpendapat, masyarakat tidak boleh memilih untuk peka dan prihatin kepada satu bahagian semata-mata misalnya mengambil berat soal rakyat Palestin sedangkan warganegara sendiri dianaktirikan.

Ia kerana jelas Hafidzi, perilaku sebegitu tidak diajar dalam Islam dan masyarakat perlu adil dalam menzahirkan keprihatinan terhadap sesuatu isu, namun mengikut kadar atau tempatnya.

“Sebagai contoh, sesuatu kebinasaan begitu besar seperti di Palestin, di situlah terletaknya Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa yang menjadi keutamaan seluruh umat Islam untuk membelanya.

“Penderitaan dialami rakyat Gaza juga lebih 70 tahun dan makin memuncak dengan peristiwa genosid.

“Sudah tentulah ia mengundang keprihatinan seluruh umat Islam, begitu juga apa yang terjadi di Syria iaitu lebih 14 juta rakyat negara terbabit jadi pelarian.

“Usaha di peringkat nasional dan antarabangsa adalah menghulurkan bantuan, mengadakan perhimpunan mega bagi membantah kezaliman serta mendesak adakan gencatan senjata. Inilah maksud keprihatinan berkadar dengan apa yang mereka hadapi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!