'Lebih percaya maklumat selari dengan emosi'

SHAH ALAM - Tahap pemahaman lemah individu dalam menerima maklumat di media sosial menyebabkan sesetengah masyarakat mudah terpengaruh dengan berita palsu dan propaganda negatif terutama melibatkan kesejahteraan umat Islam.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, kebanyakan individu lebih cenderung mempercayai maklumat yang selari dengan emosi mereka dan kepercayaan peribadi tanpa bertindak mengesahkan kebenarannya.
Justeru beliau menekankan, pemahaman masyarakat umum dalam mengakses, menganalisis dan menilai maklumat dengan kritis adalah sangat penting untuk menolak sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan bagi menimbulkan kebencian.
“Kita sekarang hidup di era digital yang serba pantas menjadikan penyebaran maklumat boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Disebabkan perkara ini, masyarakat perlu sedar dan celik dalam penggunaan media agar dapat membendung sebarang penyebaran maklumat tidak sahih.
“Perkara ini juga penting bagi menangkis sebarang bentuk fitnah atau ideologi yang akhirnya boleh memburukkan lagi sesuatu keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penghalang mesej kebenaran seperti dinyatakan dalam ayat 8 surah al-Saff yang dipilih dalam penganjuran World #QuranHour pada tahun ini.
Tambah Mohd Zuwairi, platform media sebenarnya turut berfungsi sebagai aplikasi berkesan dalam membentuk pemikiran umat Islam yang lebih progresif melalui tiga cara utama.
“Pertama ialah penyampaian maklumat berasaskan fakta, kedua melalui platform perbincangan ilmiah dan ketiga, inti pati perbincangan haruslah memartabatkan nilai-nilai Islam,” tambah beliau.
Perkara ini, katanya, jelas menunjukkan pengaruh media berhubung perpaduan umat Islam bergantung kepada cara ia digunakan.
“Jika dimanfaatkan dengan betul maka ia boleh menjadi alat kuat untuk menyebarkan ilmu, memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan ummah,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, dengan kemajuan teknologi dunia digital bergerak lebih pantas, rakyat Malaysia perlulah menjadi pengguna media yang bijak dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, setiap individu bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
“Ini termasuklah menyemak sumber maklumat, mengawal emosi ketika menerima berita dan mengelakkan penyebaran spekulasi yang boleh menimbulkan panik.
“Insha-ALLAH, kita mampu menghalang berita palsu daripada menjadi tonggak yang menghalang kepada mesej kebenaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

