5,000 dijangka sertai World #QuranHour di Madinah Ramadan

KOTA BHARU – Sekitar 5,000 peserta dijangka menyertai World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan yang akan diadakan pada 25 Mac ini dengan lokasi utama di Madinah Ramadan, Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Pengarah World #QuranHour 2025 negeri Kelantan, Surena Mohd Noor berkata, program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu bertujuan menyatukan umat Islam melalui pembacaan serta tadabbur al-Quran.
“Madinah Ramadan dipilih sebagai lokasi utama di Kelantan kerana ia bukan sekadar tempat berbuka puasa, tetapi juga pusat aktiviti keagamaan yang memberi peluang kepada umat Islam untuk mendalami al-Quran dalam suasana penuh keberkatan.

“Kami bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bandar Bandar Raya Islam dan menjangkakan sekitar 2,000 peserta akan hadir secara fizikal di Madinah Ramadan, manakala selebihnya akan mengikuti program ini di lebih 20 lokasi lain termasuk masjid dan institusi pengajian seperti Masjid Muhammadi serta maahad,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, World #QuranHour 2025 kali ini akan memberi penekanan kepada tadabbur Surah As-Saf yang mengandungi mesej penting mengenai kepentingan kesatuan dalam membina umat yang kuat dan berdaya saing.
“Melalui tema #SavingTheUmmah, kita mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan bersatu padu dalam menghadapi cabaran ummah hari ini.
“World #QuranHour juga dijalankan serentak di seluruh negara termasuk dan beberapa negara lain dengan matlamat memperkukuhkan hubungan umat Islam dengan al-Quran,” katanya.
Surena berkata, penyertaan bagi program ini terbuka kepada semua dan individu yang berminat boleh hadir secara langsung ke Madinah Ramadan dan di lokasi-lokasi terpilih atau mengikuti secara dalam talian.
“Bagi organisasi besar atau badan bukan kerajaan yang ingin menyertai secara berkumpulan, mereka boleh menghubungi saya di talian 019-9390693 untuk penyelarasan lanjut,” katanya.
Beliau turut menggalakkan umat Islam mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkan Ramadan dengan mendekatkan diri kepada al-Quran selain meraih keberkatan berganda menerusi aktiviti ibadah.
“World #QuranHour bukan sekadar program membaca al-Quran, tetapi juga platform untuk kita memahami dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

