Siasat jika ada pegawai dalang sindiket 'makanan istimewa' banduan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Shahul Hamid
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Shahul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan tentang seorang banduan yang pernah mendapat layanan istimewa di penjara satu ketika dahulu mungkin menjadi ‘modal’ oleh sindiket yang menyamar sebagai pegawai penjara untuk meminta sejumlah wang daripada keluarga dan waris penghuni bagi membeli makanan istimewa.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, sindiket penipuan tersebut berpotensi menyasarkan keluarga banduan yang kaya atau golongan VIP.

Justeru menurutnya, pihak berkuasa juga perlu menyiasat sekiranya berkemungkinan ada pegawai penjara yang menjadi dalang sindiket untuk mengambil kesempatan terhadap keluarga banduan.

“Mungkin juga scammer main peranan. Mereka cuba dapatkan banduan daripada keluarga kaya dan gunakan platform tersebut dan cuba menipu keluarga banduan.

“Jadi, mungkin juga ada keluarga penghuni penjara yang berduit gunakan orang tertentu untuk bekalkan makanan kepada banduan yang dinyatakan. Terpulang kepada Jabatan Penjara untuk ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.



Beliau mengulas berhubung pendedahan Jabatan Penjara Malaysia yang mengesan sindiket menyamar sebagai pegawai penjara untuk melakukan penipuan tersebut.

Jabatan itu dalam kenyataan pada Rabu berkata, kegiatan tersebut dikesan setelah pihak jabatan menerima beberapa aduan daripada mangsa yang menerima pesanan ringkas tersebut menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih melalui aplikasi WhatsApp.

Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, kurangnya kesedaran keluarga banduan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dalam penjara juga menjadi punca penipuan boleh berlaku.

“Makanan yang dibawa dari luar ini sebenarnya memang tidak boleh bawa masuk kecuali hari perayaan. Bila keluarga melawat (boleh bawa makanan), tapi hari lain memang tidak boleh.

Artikel Berkaitan:

“Kita bimbang jika salah makan, banduan itu mati dalam penjara, yang bertanggungjawab mestilah pihak penjara dan akan dipersalahkan,” tegasnya.

Ujarnya, makanan untuk banduan lazimnya lengkap dengan nutrisi serta berkhasiat dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Makanan yang ditender tiga kali sehari, pagi, tengah hari dan petang (malam), menu makanan itu disediakan seperti yang terdapat dalam tender, dikawal oleh pihak penjara dan menu-menu sudah ditetapkan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!