[VIDEO] Trafik Shah Alam terkawal, polis bantu pengguna berbuka di rumah


Itu sasaran Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim susulan penugasan anggota trafik di persimpangan lampu isyarat '199' di Jalan Subang dan beberapa lokasi tumpuan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang Ramadan ini, lapor wartawan Sinar Harian Muhammad Aminuraliff Mohd Zoki.

Artkel: https://www.sinarharian.com.my/article/715917/edisi/selangor-kl/trafik-shah-alam-terkawal-polis-bantu-pengguna-berbuka-di-rumah

Muzik: Elevate dari www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa #Trafik #ramadan #ShahAlam
" />
A
A
A

SHAH ALAM – "Kita akan sedaya upaya memastikan pengguna jalan raya di Shah Alam dapat berbuka puasa di rumah."

Itu sasaran Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim susulan penugasan anggota trafik di persimpangan lampu isyarat '199' di Jalan Subang dan beberapa lokasi tumpuan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang Ramadan ini.

Mohd Iqbal berkata, taktik menempatkan anggota trafik di lokasi dikenal pasti sesak pada waktu puncak dilihat langkah proaktif bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya bagi membolehkan mereka pulang berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

Beliau berkata, sebanyak 29 lokasi penugasan dikenal pasti sekitar bandar raya ini dengan kekuatan 45 anggota trafik serta lima pegawai digerakkan sepanjang Ramadan.

"Kita tempatkan anggota trafik dalam dua syif bermula jam 4.30 petang hingga 8 malam di kawasan tumpuan dengan fokus kepada persimpangan lampu isyarat '199' yang terkenal dengan kesesakan di Jalan Subang.

"Sebanyak enam lokasi penugasan ditempatkan di persimpangan itu bagi melancarkan aliran trafik keluar bandar terutama kepada penjawat awam negeri yang pulang awal dan pengguna dari Kuala Lumpur serta Klang," katanya.

Penugasan anggota trafik di persimpangan lampu isyarat '199' di Jalan Subang dan beberapa lokasi tumpuan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang Ramadan ini
Penugasan anggota trafik di persimpangan lampu isyarat '199' di Jalan Subang dan beberapa lokasi tumpuan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang Ramadan ini

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi di persimpangan lampu isyarat Jalan Subang, Seksyen 13 pada Selasa.

Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati kebanyakan pengguna jalan raya sudah tiba di rumah sebelum jam 7 malam berbanding sebelum ini yang terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan akibat kesesakan.

"Selain penugasan anggota, taktik menyelaraskan lampu isyarat di kawasan tertentu turut dilaksanakan bagi memberi keutamaan kepada trafik keluar bandar pada waktu petang dan masuk bandar pada waktu pagi.

"Penugasan ini dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang melakukan rondaan secara berterusan untuk menilai keadaan trafik sebelum anggota trafik dikerah ke lokasi diperlukan," katanya.

Dalam masa sama, Iqbal berkata, pihaknya turut memantau keselamatan dan kelancaran lalu lintas di 19 bazar Ramadan di sekitar Shah Alam dengan tumpuan di empat lokasi utama iaitu Stadium Shah Alam, Kompleks PKNS, Seksyen 19 dan Seksyen 20.

Iqbal (kiri) diberikan penerangan oleh pegawainya ketika melakukan pemantauan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Jalan Subang, Seksyen 13 pada Selasa.
Iqbal (kiri) diberikan penerangan oleh pegawainya ketika melakukan pemantauan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Jalan Subang, Seksyen 13 pada Selasa.

"Sebanyak lapan anggota statik ditempatkan di bazar terbabit selain dibantu anggota balai polis berhampiran bagi memastikan keselamatan orang ramai dan kawalan trafik berjalan lancar," katanya.

Tambahnya, bagi memastikan kebajikan anggota bertugas, persiapan turut dibuat bagi membolehkan mereka berbuka puasa di lapangan sepanjang penugasan.

"Jumlah anggota trafik dijangka ditambah pada minggu akhir Ramadan susulan peningkatan jumlah kenderaan menjelang Aidilfitri.

"Orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan anggota trafik bagi mengelakkan kesesakan terutama pada waktu puncak," katanya.

Terdahulu, Mohd Iqbal hadir meninjau keadaan lalu lintas di persimpangan ini dan turut meluangkan masa berbuka bersama anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!