KDEBWM pertama kali anjur iftar bersama 700 warga UIAM

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) buat pertama kali menganjurkan iftar bersama 700 warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak bagi memupuk kesedaran budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, program yang diadakan pada 11 Mac depan bertujuan merapatkan ukhuwah dan membantu menjimatkan kos perbelanjaan berbuka puasa kepada mahasiswa.
“Kami difahamkan tahun ini pelajar baru akan mendaftar kurang dari dua minggu, jadi bantuan kewangan seperti biasiswa belum diterima.
“Oleh itu, UIAM turut mengalu-alukan program iftar ini bagi menyantuni pelajar, pada masa sama berkongsi manfaat rezeki dengan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar Mahfuzah, program itu akan berlangsung di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, ia turut menggalakkan mahasiswa supaya meraikan sambutan Ramadan tahun ini dengan sifat kesederhanaan dan tidak mengamalkan pembaziran secara berlebihan.

“Menerusi iftar bersama KDEBWM, warga UIAM termasuk mahasiswa diharap dapat memahami tugasan sebenar kami, apa yang mereka boleh membantu dalam menyemarakkan konsep kitar semula, pengasingan sisa dan penjagaan alam sekitar.
“Di peringkat universiti lagi, kita perlu mewujudkan pemikiran sedemikian. Apabila mereka sudah menamatkan pengajian dan berada di dalam industri, mereka boleh menjadi ejen perubahan kepada masyarakat.
“Mereka boleh mengaplikasikan apa yang mereka dapat di universiti untuk diterjemahkan semula dalam dunia pekerjaan,” ujarnya.
Beliau berkata, lokasi strategik dan waktu kemasukan semester baharu yang sesuai merupakan antara faktor utama menjadikan UIAM Gombak sebagai pilihan terbaik bagi penganjuran program berkenaan.
Tambahnya, selain universiti, KDEBWM turut melaksanakan program kesedaran melibatkan pelbagai kategori seperti sekolah rendah, sekolah menengah, masyarakat dan syarikat swasta.
“Itu antara usaha yang kita lakukan bagi merancakkan kesedaran terhadap usaha kitar semula dan pengasingan sisa.
“Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) turut menyatakan usaha merancakkan lagi program kitar semula di Selangor. Apa yang KDEBWM lakukan itu selari dengan teras tersebut,” kata Mahfuzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
