AS laksana hukuman mati regu tembak, pertama kali dalam 15 tahun

AMERIKA SYARIKAT – Seorang banduan di Amerika Syarikat (AS) dihukum mati dengan menggunakan regu tembak menjadikannya eksekusi pertama menggunakan kaedah itu dalam tempoh 15 tahun.
Banduan tersebut, Brad Sigmon, 67 tahun, menjalani hukuman mati di Penjara Broad River, Columbia pada 7 Mac.
Menurut jurucakap penjara South Carolina, Chrysti Shain, Sigmon disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor pada jam 6.08 petang, tiga minit selepas tembakan dilepaskan.
Sigmon dijatuhi hukuman mati kerana membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya menggunakan kayu besbol pada tahun 2001.
Dia diikat di kerusi di bilik eksekusi, memakai pakaian serba hitam dengan tanda sasaran di bahagian jantungnya.
Dalam kenyataan terakhir yang dibacakan oleh peguamnya, Gerald 'Bo' King, Sigmon menyampaikan mesej cinta dan menyeru penganut Kristian agar berusaha menghentikan hukuman mati.
Regu tembak yang terdiri daripada tiga orang sukarelawan dari Jabatan Pemasyarakatan South Carolina melepaskan tembakan melalui celah dinding kira-kira lima meter dari Sigmon.
Menurut peguamnya, Sigmon memilih regu tembak berbanding suntikan maut atau kerusi elektrik kerana bimbang kaedah lain lebih menyakitkan.
Permohonan rayuan terakhirnya ke Mahkamah Agung serta pengampunan daripada Gabenor South Carolina, Henry McMaster, ditolak.
Eksekusi terakhir menggunakan regu tembak di AS sebelum ini berlaku di Utah pada tahun 2010 - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

