Iftar Ala Madinah jamin keselesaan OKU

SHAH ALAM - Keindahan berbuka puasa dalam suasana harmoni semakin dirasai apabila insiatif Iftar Ala Madinah @Karangkraf bukan sahaja menyediakan juadah percuma tetapi turut memberi keselesaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Pesara pemandu lori, Mohammad Razali Abdullah, 54, meluahkan rasa syukur kerana adanya tempat khas disediakan untuk OKU sepertinya bagi bersama-sama berbuka puasa dengan pengunjung lain.
Mohammad Razali mengalami masalah fizikal di mana dia tidak boleh membengkokkan kaki dan sukar duduk bersila terlalu lama.
“Alhamdulillah, dengan adanya tempat khas untuk OKU macam saya, senang untuk berbuka puasa bersama orang ramai tanpa perlu risau tentang keselesaan atau menyusahkan orang lain.
“Ini sangat membantu OKU di luar sana yang sedang mencari tempat berbuka puasa, bolehlah datang ke Kompleks Karangkraf kerana selain makanan percuma, kemudahan lain turut disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2025 berlangsung bermula 3 hingga 27 Mac dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Meneruskan tradisi sambutan yang sangat menggalakkan pada tahun terdahulu, program itu sekali lagi memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman seakan-akan berbuka puasa di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dan masyarakat setempat.
Tambah Mohammad Razali, selain ruang makan selesa, program ini juga dilihat sebagai satu inisiatif dalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di bulan Ramadan.
Peningkatan kos sara hidup serta harga makanan semakin mahal turut menjadikan program ini sebagai pilihan utama bagi individu yang tidak mampu berbuka puasa dengan hidangan lengkap setiap hari.
“Untuk orang seperti saya yang berpendapatan terhad, tempat berbuka seperti ini sememangnya sangat membantu. Saya sudah tidak perlu risau mengenai kos makanan kerana di sini, hidangan disediakan secara percuma.
“Kuranglah sedikit beban dan dapatlah merasai nikmat berbuka puasa dengan juadah lengkap sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.
Katanya lagi, antara kelainan dibawa program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada tahun ini adalah menerusi penyediaan beberapa gerai yang menjual makanan dengan harga murah, menjadikan program tersebut lebih meriah.
“Pengunjung boleh terus datang sebab kalau teringin air manis atau roti john, memang sudah ada dijual di sini. Harga pun lebih murah berbanding dijual di bazar Ramadan.
“Tidak perlu lagi bersesak, hanya perlu hadir sahaja dan nikmati suasana iftar berkonsepkan ala Madinah,” kongsinya.
Mohammad Razali turut berpesan kepada orang ramai untuk sentiasa melayari media sosial atau membeli surat khabar Sinar Harian bagi mendapatkan kod QR untuk urusan pendaftaran kehadiran.
Katanya, inisiatif ini lebih memudahkan.
“Jadi, daftarlah lebih awal untuk mendapatkan tempat supaya tidak terlepas peluang berbuka dengan berbumbungkan langit di sini,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

