Yayasan MR D.I.Y infak 24,000 air mineral untuk Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2025

SHAH ALAM - Yayasan Mr D.I.Y menyumbangkan sebanyak 24,000 botol air mineral untuk Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2025 bagi menampung keperluan minuman pengunjung yang hadir nanti.
Pengurus Yayasan Mr D.I.Y, Nor Saiful Azly Mohamad Zin berkata, ini merupakan sumbangan kali kedua selepas tahun lalu pihaknya telah memberikan infak berupa 150 naskah al-Quran, 1,000 pek makanan dan 15,000 air mineral khas untuk asnaf, anak yatim serta pengunjung yang hadir ke program iftar tersebut.

“Tahun lepas kita dapat maklum balas yang sangat positif, jadi untuk tahun ini kita menyumbangkan lebih besar dari tahun lepas.
“Sumbangan ini sebenarnya boleh menyemarakkan semangat Ramadan dan pada masa yang sama juga objektif kita adalah untuk memberi kepada komuniti serta masyarakat. Kita berniat mahu membantu mereka dengan bersedekah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan Mr D.I.Y mempunyai misi berkaitan kemasyarakatan atau komuniti dan akan memberikan sokongan sepenuhnya untuk program seperti ini.
Menyifatkan hubungan kerjasama bersama Kumpulan Media Karangkraf adalah sesuatu yang baik, beliau berharap program ini dapat memberikan impak lebih besar bukan sahaja pada Ramadan tetapi juga untuk masa hadapan.
“Bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi juga program lain bersama Karangkraf, yang mana kita boleh aturkan akan datang nanti.
“Semestinya juga faedah ini bukan sahaja untuk komuniti Ramadan tetapi komuniti yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama bersama itu tidak terhenti pada tahun ini malah akan diteruskan lagi dalam bentuk sumbangan yang berbeza.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima infak air botol mineral yang telah bertambah bilangannya dari tahun lepas.
“Memandangkan sasaran pengunjung pada tahun ini akan melebihi dari tahun lepas jadi saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yayasan Mr D.I.Y yang telah setuju untuk infak air minuman sebanyak itu.
“Selama beberapa tahun ini, pihak yayasan selalu menyokong untuk setiap inisiatif dibuat dan semestinya ia tidak akan terhenti di sini. Insya-ALLAH mungkin ada pelbagai lagi program atau inisiatif pemerkasaan komuniti yang dapat lakukan bersama,” ujarnya.
Mengulas berkenaan program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2025, beliau mengalu-alukan rakan korporat dan orang ramai untuk terus memberikan sumbangan atau infak bagi memeriahkan lagi program itu nanti.
Jelasnya, objektif utama program dan sumbangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kos seharian masyarakat terutamanya di kawasan Lembah Klang sepanjang Ramadan, perayaan Hari Raya serta juga musim persekolahan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Saya harap program ini sedikit sebanyak dapat bantu jimatkan kos mereka kerana semua sedia maklum makanan ialah percuma. Bukan itu sahaja, saya juga ingin menjemput semua orang walaupun bukan Islam untuk datang ke program ini rasai dan memeriahkannya lagi...ia satu pengalaman yang unik.
“Untuk sumbangan infak pula, sesiapa yang ingin menyumbang boleh diberi melalui makanan ataupun wang tunai...bukan sahaja Kumpulan Media Karangkraf, malah semua rakan kerjasama dan orang ramai untuk kita bersama-sama bantu masyarakat,” ujar beliau.
Acara berkenaan akan berlangsung pada 3 hingga 27 Mac tahun ini bermula jam 6 petang setiap hari kecuali cuti umum, Sabtu dan Ahad.
Sumbangan infak boleh disalurkan melalui kod QR Sinar Karangkraf atau TABUNG INFAQ IFTAR di nombor 564276 529068 akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
