Tak sangka bertuah dapat kupon air

SHAH ALAM - Pengunjung Iftar Ala Madinah yang memakai baju berwarna merah dan menjadi antara 50 terawal diberikan kupon untuk menebus satu cawan air balang secara percuma seawal jam 6 petang.
Pegawai eksekutif perbankan, Siti Fatimah Rahim, 42, berkata, dia bertuah menjadi antara individu terawal mendaftar masuk dan menerima kupon air percuma bernilai RM2 yang boleh ditebus di gerai minuman disediakan.
Menurutnya, ia antara inisiatif yang amat menarik perhatian ramai, menunjukkan bahawa Karangkraf terbuka menerima cadangan atau penambahbaikan untuk dilaksanakan tahun ini.
“Ini merupakan tahun ketiga saya bawa keluarga berbuka di Iftar Ala Madinah. Tahun ini persediaan dan gerak kerja lebih teratur kerana tahun lepas agak padat dengan kerumunan orang ramai.
“Selain itu, tahun ini disediakan air mineral sahaja dan sesiapa yang ingin minuman manis boleh beli di sini juga. Saya bertuah dapat air percuma kerana kebetulan pakai baju merah.
“Inisiatif sebegini menarik, membuatkan pengunjung tak jangka mereka bertuah pada hari tersebut dan saya memang akan ajak ramai lagi datang sokong Iftar Ala Madinah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pekerja kilang, Hafiz Abd Rahman, 37, berpandangan, penganjuran kali ini lebih sistematik ditambah pula peraduan harian disediakan pihak penganjur seperti individu yang memakai baju warna tertentu bakal menerima ganjaran.
“Tahun lepas tak ada, tahun ini ada jadi ia lebih menarik. Kami cuma perlu muat turun aplikasi Sinar Harian dan tunjukkan bukti kepada kru bertugas, kemudian kupon diberi dan boleh tebus air di gerai yang disediakan. Sangat mudah!
“Saya rasa tahun ini memang lebih teratur jadi tak perlu apa-apa penambahbaikan lagi, semuanya cukup dan selesa,” ujarnya.
Kerani, Nur Asyikin Abdul Aziz, 34, turut senada dengan Siti Fatimah dan Hafiz kerana program Iftar Ala Madinah memiliki keunikan tersendiri meskipun baru pertama kali menjejakkan kaki ke Karangkraf.
Tambahnya, kehadiran pengunjung yang ramai dalam satu masa, sama sekali tidak menunjukkan sebarang kelemahan daripada pihak penganjur setakat ini.
Jelasnya, dengan adanya peraduan harian sedemikian, ada input berbeza yang boleh diberikan buat pengunjung berbanding sekadar berbuka puasa beramai-ramai.
“Teruja menjadi antara 50 terawal, saya suka idea ini sebab dapat air percuma, malah peniaga sediakan pelbagai perisa antaranya tembikai, mangga, teh ais dan macam-macam lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

