Imbau nostalgia ziarah Madinah

Iftar Ala Madinah @Karangkraf turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti setempat.
Iftar Ala Madinah @Karangkraf turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti setempat.
A
A
A

SHAH ALAM – Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar dan keluarga yang ingin berjimat dalam perbelanjaan sepanjang Ramadan.

Program itu bukan hanya menyediakan juadah berbuka secara percuma, malah menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti setempat.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhamad Hazierul Fitri Awang, 29, berkata, berbuka puasa secara percuma dapat mengurangkan beban perbelanjaan hariannya sepanjang Ramadan.

Muhamad Hazierul Fitri
Muhamad Hazierul Fitri

Menurutnya, suasana yang meriah dan banyak pilihan makanan menjadi faktor utama dia kembali menyertai program tersebut.

“Ini merupakan tahun kedua saya datang berbuka di sini kerana sangat seronok. Lagipun sebagai pelajar, dapatlah berjimat kerana jika berbuka di luar, saya perlu kira-kira RM30 sehari, kalau sebulan mungkin cecah RM900.

“Kadang-kadang saya ada juga masak di rumah. Lokasinya pula berhampiran dengan kampus dan saya hanya tunggang motosikal untuk ke sini.

“Saya juga daftar awal dua hari lalu untuk memastikan dapat tempat dan tidak perlu berebut-rebut. Insya-ALLAH, saya merancang untuk berbuka di sini setiap hari sepanjang Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf berlangsung pada 3 hingga 27 Mac dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Sementara itu, Shamsul Hidayat Omar, 42, menyifatkan program sebegini sebagai usaha murni yang mampu mendekatkan lagi hubungan penganjur dan masyarakat sekitar.

Shamsul Hidayat
Shamsul Hidayat

Katanya, dia memilih untuk berbuka di Kompleks Karangkraf kerana lokasi berhampiran dengan rumah selain memudahkan mereka sekeluarga.

“Sejak 2023 saya datang ke program Iftar Ala Madinah untuk berbuka puasa beramai-ramai. Saya datang bersama lima ahli keluarga yang lain dan kami tiba lebih awal untuk elak kesesakan.

“Adanya program ini, ia dapat kurangkan kos belanja, terutamanya bagi keluarga besar seperti kami,” ujarnya.

Kitangan swasta, Arif Aiman Ahmad Lela, 37, berpendapat, program itu amat bermanfaat kerana turut memberikan pengisian rohani melalui pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan.

Arif Aiman memberitahu, ia juga membangkitkan nostalgianya semasa menziarahi Madinah dan dapat berkenalan dengan orang baharu.

Antara orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Antara orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

“Saya rasa inisiatif ini sangat bagus kerana jarang ada syarikat anjur program seperti ini. Tambahan pula, sebelum berbuka ada sesi tazkirah yang memberi pengisian rohani diikuti solat Maghrib, Tarawih dan Witir secara berjemaah.

“Saya tahu tentang program ini melalui papan iklan dan media sosial. Diharapkan ia akan diteruskan pada masa akan datang kerana manfaatnya sangat besar,” katanya.

Kerani di sebuah syarikat swasta, Siti Aisyah Musa,45 pula berkongsi rasa teruja kerana dapat merasai suasana berbuka bersama keluarga di kampung menerusi Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

Siti Aisyah
Siti Aisyah

“Ini kali kedua saya menyertai Iftar Ala Madinah. Program ini menyeronokkan kerana suasananya meriah dengan kehadiran ramai orang.

“Saya ada keluarga yang besar jadi, berbuka di sini beri peluang merasai suasana berkumpul dan makan beramai-ramai, sekali gus mengubat kerinduan terhadap mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!