Iftar Ala Madinah hidupkan semangat bersedekah

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf kembali lagi tahun ini dengan matlamat menggalakkan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program ini membuka ruang bagi individu berkemampuan untuk menyumbang dan dalam masa sama membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Beliau berkata, konsep program itu sangat ringkas iaitu berbuka puasa seperti di Madinah yang mana orang duduk bersila dan semua berkumpul menunggu untuk makan bersama-sama.
“Ia menghimpunkan serta menghubungkan golongan yang memberi dan menerima bantuan dalam satu tempat.
“Karangkraf menyediakan tempat memandangkan kami mempunyai dataran yang luas, masjid untuk bertarawih dan pelbagai kemudahan lain bagi keselesaan pengunjung. Jadi kita wujudkan suasana macam Madinah dan Makkah selain platform mereka yang berkemampuan untuk bersedekah.
“Mereka yang ingin berinfak boleh menyumbangkan wang, makanan atau tenaga bagi memastikan kelangsungan program ini manakala golongan musafir dan kurang berkemampuan boleh datang untuk berbuka puasa secara percuma,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Hussamuddin, untuk tahun ini pihaknya menyasarkan penyediaan 1,500 set makanan pada setiap hari.

Menurutnya, jumlah itu boleh ditingkatkan jika sumbangan daripada orang ramai bertambah.
“Tahun lalu, pengunjung yang datang lebih 2,000 orang pada hari-hari tertentu dan ini menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan.
“Selain menerima sumbangan berupa wang dan makanan, penganjur juga mengalu-alukan penyertaan sukarelawan untuk membantu dalam penyusunan tempat dan pengagihan makanan,” jelasnya.
Ujar beliau, diharapkan lebih ramai masyarakat tampil memberi sumbangan secara ikhlas dan menyertai program ini sebagai sukarelawan.
Katanya, mereka yang ingin berbuka secara percuma juga digalakkan untuk mendaftar lebih awal bagi memastikan kelancaran pengagihan makanan dan mengelakkan pembaziran.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf akan berlangsung bermula 3 hingga 27 Mac serta terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Orang ramai yang berminat untuk hadir diingatkan mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-2133315.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

