Raih RM5,000 sebulan usaha tanaman kontan atas tanah wakaf MAIDAM

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kegigihan seorang petani mengusahakan tanaman kontan di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kampung Gelugur Kayu Tinggi, di sini membuahkan hasil apabila dia berjaya meraih pendapatan kasar sekitar RM5,000 sebulan.
Dhalim Ismail, 51, mengusahakan tanaman bendi dan terung di atas tanah seluas 0.4 hektar yang disewa dengan bayaran RM400 setahun.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, hasil yang diperoleh itu mampu menjana hasil pendapatan bagi menampung keluarga termasuk pengajian dua anaknya di universiti.
"Tapak ini asalnya paya padi. Saya mempunyai jentera sendiri dan segala usaha termasuk kos penyediaan tanah, penyemaian benih sehingga tanaman dijalankan sendiri tanpa bantuan luar.
"Saya mula menyewa tanah seluas satu ekar ini pada 1 Julai 2024 dengan kontrak sewaan selama dua tahun sehingga 31 Julai 2026," katanya ketika ditemui pemberita di kawasan tanaman itu di sini.
Dhalim berkata, dia mula menanam benih pada 17 Disember 2024 dan hasil pertama mula dituai pada awal Februari tahun ini.
"Tanaman ini sekarang telah membuahkan hasil dengan kira-kira 150 kilogram (kg) terung dan 22 kg bendi berjaya dikutip setiap hari.
"Bendi perlu dikutip setiap hari manakala terung dituai setiap tiga hari sekali sebelum dijual terus kepada pemborong," ujarnya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha (Pendanaan Wakaf) MAIDAM, Siti Hajar Endut memuji usaha Dhalim dan menyifatkan ia sebagai contoh terbaik dalam memanfaatkan tanah wakaf untuk tujuan pertanian.
"Tanah ini telah diwakafkan oleh Tengku Wook pada 26 September 1972. Hasil sewaan sebanyak RM400 setahun ini akan diagihkan kepada Masjid Gelugor Haji Tahir bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan jemaah dan mengimarah masjid.
"Kejayaan projek ini membuka peluang kepada pengusaha lain untuk turut sama memanfaatkan tanah wakaf di sekitar Terengganu bagi memberi manfaat kepada masyarakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
