Tiada pihak berkuasa nyatakan 'Becoming Hannah' mengancam agama Islam - Saksi

Ibrahim, Hannah
Ibrahim, Hannah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu bahawa beliau bersetuju tiada mana-mana pihak berkuasa termasuk Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam menyatakan buku Becoming Hannah: A Personal Journey mengancam agama Islam.

Ibrahim berkata demikian ketika disoal balas peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Belia dan Sukan itu terhadap Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berhubung dua catatan Facebook mengenai buku tersebut pada Mei 2017.

Saksi kedua defendan itu juga bersetuju dengan peguam bahawa tiada mana-mana pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku berkenaan sejak diterbitkan pada 2014 sehingga kini.

Sangeet: Semasa Tan Sri (Ibrahim) memberi luahan terhadap buku tersebut, ada tak sebarang bukti daripada mana-mana mahkamah di negara ini yang menyatakan buku tersebut bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim: Tidak ada lagi.

Kepada soalan Sangeet mengenai isi kandungan buku tersebut, Ibrahim bersetuju bahawa isi kandungannya tidak menyatakan agama Islam bukan agama rasmi Persekutuan atau negeri.

Selain itu, bekas Senator Dewan Negara itu berkata, kali pertama beliau membaca buku tersebut pada 2015 dan melahirkan rasa kebimbangan tentang isi kandungannya namun tidak membuat laporan polis sebaliknya hanya membangkitkannya di Parlimen.

Ditanya Sangeet adakah saksi itu kagum dengan tuhan Hannah selepas membaca buku tersebut, Ibrahim menjawab: "Tidak”.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim bersetuju dengan peguam bahawa mana-mana orang yang kuat fahamannya dengan agama masing-masing tidak akan goyang selepas membaca buku itu.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata walaupun umat lslam di negara ini tidak mudah terpengaruh selepas membaca buku tersebut, tidak bermakna buku itu bukan satu ancaman.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Kamarul Zaman, saksi itu menjelaskan beliau tidak membuat laporan polis tentang buku berkenaan kerana Parlimen lagi besar untuk beliau memaklumkan perkara terbabit.

Terdahulu, Hakim Datuk Aliza Sulaiman menegur saksi berkenaan kerana mempersoalkan tentang soalan peguam yang diajukan kepadanya tidak relevan sebelum Ibrahim memohon maaf dan memaklumkan bahawa beliau kali pertama menjadi saksi di mahkamah.

"Peguam sahaja yang boleh menyatakan sama ada sesuatu soalan itu relevan atau tidak, bukannya saksi,” kata Hakim Aliza.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah Becoming Hannah: A Personal Journey bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu, kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Perbicaraan kes bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!