PeSawah mohon kerajaan kaji, pinda Akta 522

Petani terikat dengan Akta 522 yang tidak membenarkan mereka menjual hasil padi atau beras secara terus kepada pengguna kerana hanya pengilang mempunyai lesen boleh berbuat demikian. - Foto hiasan
Petani terikat dengan Akta 522 yang tidak membenarkan mereka menjual hasil padi atau beras secara terus kepada pengguna kerana hanya pengilang mempunyai lesen boleh berbuat demikian. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia boleh mencontohi Jepun yang memberi kelonggaran kepada petani untuk mengeluarkan beras sendiri yang dilaksanakan secara komuniti dan dijual secara terus kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan beberapa langkah antaranya mengkaji atau meminda semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang menghalang petani daripada berbuat demikian.

Menurutnya, langkah tersebut antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit mengenai sektor berkenaan di negara ini.

“Kami di pihak PeSAWAH amat menyokong cadangan supaya petani diberikan kelonggaran untuk menjual terus beras yang diusahakan mereka kepada pengguna.

“Sekarang ini kita ada pelbagai teknologi, mungkin petani boleh dapatkan mesin bersaiz kecil untuk digunakan secara komuniti.

“Amalan ini turut dilaksanakan di Jepun, yang mana ada komuniti yang boleh menjual terus beras hasil tanaman padi yang diusahakan mereka tanpa gangguan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar pesawah perlu diberi kebenaran untuk memproses dan menjual hasil padi secara terus kepada pengguna bagi mengelakkan golongan petualang semakin menekan serta terus-menerus menipu rakyat.

Jelas Ketua Pemuda UMNO itu lagi, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan, malah komuniti pesawah juga perlu diperkasakan menerusi koperasi atau persatuan peladang sedia ada.

Sementara itu, Abdul Rashid dalam masa sama menegaskan, industri padi di negara ini perlu kepada kerangka baharu bagi memperkukuhkan semula sektor berkenaan untuk memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini petani terikat dengan Akta 522 yang tidak membenarkan mereka menjual hasil padi atau beras secara terus kepada pengguna kerana hanya pengilang yang mempunyai lesen boleh berbuat demikian.

“Jadi, untuk memastikan industri ini berjalan dengan lebih baik, petani harus diberikan sedikit kebebasan dari segi menjual hasil padi terus kepada pengguna. Mungkin tidak semua petani boleh jual (hasil padi),” katanya.

Ujarnya, menerusi kajian semula Akta 522 itu, kerajaan perlu menumpukan kepada usaha untuk mengawal beras import dan meneliti beberapa kelonggaran lain yang boleh memberi lebih manfaat kepada petani mengikut keperluan semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!