PM mahu projek tanam padi lima musim dua tahun disegerakan

Anwar (tengah) turun meninjau kawasan sawah yang telah dituai selepas meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, Jerlun pada Khamis.
Anwar (tengah) turun meninjau kawasan sawah yang telah dituai selepas meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, Jerlun pada Khamis.
A
A
A

JERLUN - [DIKEMAS KINI] Projek tanam padi lima musim dua tahun perlu disegerakan dan kerajaan negeri dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bersama meningkatkan produktiviti pesawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut antara yang diberikan tumpuan pihaknya dan berharap para pesawah dapat memberikan kerjasama bagi menjayakannya.

Menurutnya, antara yang telah disegerakan adalah mempercepatkan pengambilan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan dan memberikan laporan kemajuan projek dari semasa ke semasa kepada kementerian.

"Semua agensi perlu berikan laporan segera, kita kena percepatkan projek ini, tak boleh sambil lewa, apabila kita lambatkan ia akan bebankan petani.

"Sebab itu, para petani jangan marah banyak, bagi saya ini bukan pasal perbezaan politik, saya nak yakinkan pesawah ini bahawa kerajaan boleh lakukan (bantu pesawah)," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa berucap meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, dekat sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Anwar menjelaskan, produktiviti sawah padi masih berada pada tahap yang rendah dan hal Ini menimbulkan pelbagai masalah, termasuk isu harga padi dan cabaran yang dihadapi oleh pengilang.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut, kerajaan telah merangka satu pelan jangka panjang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1 bilion untuk fasa pertama projek ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah berunding dengan pesawah, pegawai kerajaan negeri, dan Menteri Pertanian untuk mencari penyelesaian.

"Salah satu cadangan utama ialah membangunkan prasarana pengairan, termasuk menaik taraf sistem tali air dan empangan, seperti Empangan Pedu yang mempunyai kepentingan besar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!