'Benarkan pesawah proses, jual hasil padi terus kepada pengguna' - Dr Akmal Saleh

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pesawah perlu diberi kebenaran untuk memproses dan menjual hasil padi secara terus kepada pengguna bagi mengelakkan golongan petualang semakin menekan serta terus-menerus menipu rakyat.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan, malah komuniti pesawah juga perlu diperkasakan menerusi koperasi atau persatuan peladang sedia ada.
Ketua Pemuda UMNO itu berpendapat, keberadaan beras putih tempatan (BPT) hanya mampu didengar, tetapi tidak dapat dilihat jika Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) enggan mengambil kira solusi sedemikian.
"Apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu mengatakan aktiviti campuran beras tempatan dan import berlaku sejak 1970-an lagi, saya setuju.
"Tetapi, kalau dahulu harga BPT dan import tidak begitu beza berbanding sekarang iaitu perbezaan hampir RM6 hingga RM10 per 10 kilogram (kg).
"Dahulu, bekalan beras tempatan juga masih boleh didapati di kebanyakan kedai berbanding hari ini yang seakan-akan hampir tak wujud.
"Bila kita desak untuk dakwa petualang ini, alasan tiada peruntukan undang-undang jelas boleh digunakan pula. Akhirnya rakyat ditipu oleh kartel kerana terpaksa beli beras tempatan dengan harga beras import," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Mohamad memberitahu, dapatan kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal tahun mendapati tindakan itu berlaku sejak 1970 lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
Jelas beliau, kajian MyCC juga merumuskan tujuan campuran itu dibuat bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan selain menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Justeru, menurutnya lagi, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik bagi mengawal percampuran BPT dan beras import melalui perundangan.
Kata ahli Parlimen Kota Raja terbabit, KPKM juga perlu merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Pada minggu lalu, skandal beras campur terbongkar selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan BPT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

