Beli banyak makan sikit, selebihnya ke tong sampah

MEMASUKI hari ketiga berpuasa, pesta ibadah di bulan penuh keberkatan ini semakin rancak apabila umat Islam mengambil peluang menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid atau surau.
Namun, antara pengisian tazkirah Ramadan yang sering Merak Jalanan dengar setiap tahun ialah sentiasa mengingatkan kita tentang satu isu yang belum berubah iaitu pembaziran makanan di bulan puasa.
Dilaporkan 90,000 tan makanan dibazirkan tahun lalu. Angka ini membimbangkan dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam bulan yang mengajar kita tentang kesederhanaan.
Mengapa masih berlaku? Jawapannya mudah - sikap. Kita membeli lebih daripada keperluan kerana mengikut nafsu makan yang membuak-buak.Ketika perut kosong, semuanya nampak sedap. Kuih-muih, lauk-pauk, air beraneka warna semuanya mahu diborong. Hakikatnya, sebaik berbuka dengan sebiji kurma dan segelas air, selera sudah mula reda, perut pun dah rasa kenyang.
Ada juga yang membeli berlebihan dengan alasan mahu membantu peniaga. Itu satu niat baik, tetapi jika akhirnya makanan itu berakhir di tong sampah, di mana keberkatannya?
Lebih menyedihkan, dalam keadaan ramai yang hidup susah dan tidak mampu membeli juadah berbuka, kita pula membazir makanan begitu sahaja.
Islam mengajar umatnya untuk bersederhana dalam semua perkara, termasuk dalam hal makan dan minum. Bukan sahaja ia lebih menjimatkan, malah baik untuk kesihatan.
Jadi, mari kita muhasabah diri. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi medan untuk kita berubah sikap tamak dalam berbelanja.
Kalau cukup dengan dua biji kuih, kenapa perlu beli lima? Jika kita mampu kawal nafsu ketika berpuasa, mengapa tidak ketika membeli juadah berbuka?
Ingatlah, puasa mendidik umat Islam menjadi lebih bersederhana dalam berbelanja dan melebihkan ibadat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
