Tak pandai masak, tolonglah jangan berniaga di bazar

SETIAP kali Ramadan menjelma, suasana bazar ibarat pesta perut rakyat. Asap bakar berkepul, bau makanan menyelinap ke hidung dan deretan juadah berwarna-warni menggoda mata. Tapi di sebalik kemeriahan itu, ada satu perkara yang semakin meresahkan - ‘tak semua yang berniaga di bazar sebenarnya pandai memasak’.
Merak Jalanan kerap turun menjengah bazar. Bukan setakat membeli, tapi memerhati. Apa yang berlaku? Banyak gerai hanya tahu menjual tetapi bukan menyediakan makanan dengan betul. Rasa hambar, masin keterlaluan, ayam keras macam tayar lama, kuah cair tak berasa, malah ada yang berbau pelik. Harga pula bukan murah. Kita dah bayar tapi pulang dengan rasa tertipu.
Lebih membimbangkan, ada makanan yang kelihatan menarik di gerai tetapi sebenarnya telah disimpan terlalu lama atau dipanaskan berulang kali. Apabila dimakan, bukan sahaja rasanya berubah, malah boleh menyebabkan keracunan makanan.
Ini bukan perkara baharu, malah menjadi 'penyakit bermusim' yang muncul setiap tahun. Ramai turun berniaga dengan semangat tinggi, tetapi tanpa persediaan asas.
Berniat cari rezeki itu mulia, tetapi berniaga tanpa ilmu, tanpa tanggungjawab, itu satu bentuk kezaliman kecil kepada pelanggan.
Mungkin ada yang beralasan 'asal boleh berniaga'. Tapi bazar Ramadan bukan tempat bereksperimen. Orang datang dengan harapan berbuka dengan hidangan enak selepas seharian berpuasa. Bukan untuk menjadi mangsa cubaan resipi gagal.
Merak Jalanan bukan mahu menghalang sesiapa mencari rezeki, tetapi biarlah berpada. Kalau belum pandai masak, janganlah berniaga dulu. Belajar, perbaiki, dah sedap baru boleh turun ke bazar Ramadan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
