Apabila sikap panas baran kuasai stereng

SEJAK dua tiga tahun lepas, Merak Jalanan perasan semakin menjadi-jadi perangai pengguna baran di jalan raya. Dulu kalau hon panjang sikit, orang masih boleh angkat tangan minta maaf. Sekarang, silap sikit terus turun kereta.
Kereta lambat bergerak dua tiga saat pun boleh melenting, akhirnya jadi pergaduhan besar sehingga tular dan ada yang ditahan polis. Jalan raya dah macam gelanggang tunjuk ego, bukan lagi tempat kita kongsi laluan.
Merak Jalanan sendiri pernah nampak situasi di lampu isyarat, hanya kerana pemandu di hadapan leka seketika, kereta belakang terus menekan hon tanpa henti. Belum sempat lampu bertukar hijau sepenuhnya, sudah ada yang keluar tingkap menjerit. Orang sekeliling pula jadi takut.
Anak kecil dalam kereta menangis, penunggang lain serba salah mahu lalu. Satu perkara kecil tiba-tiba bertukar tegang hanya kerana semua orang mahu menang.
Itu belum lagi yang tak sabar terus masuk simpang sebelum lihat kenderaan dari arah kiri atau kanan. Seolah-olah semua orang kena faham dia tergesa-gesa, padahal satu keputusan terburu-buru boleh sebabkan kemalangan berantai. Yang lebih sakit hati, motosikal yang selalu langgar lampu isyarat merah tanpa sedar boleh bahayakan diri sendiri dan orang lain.
Merak Jalanan percaya ramai sebenarnya bukan berniat jahat, cuma emosi terlalu cepat naik. Tekanan kerja, kesesakan, cuaca panas dan keletihan buat orang hilang pertimbangan. Tapi jalan raya bukan tempat lepaskan geram.
Bersempena bulan Ramadan ini marilah kita latih diri bersabar. Bukan sekadar waktu puasa, tapi jadikan ia kebiasaan sampai bila-bila. Ingatlah, pergaduhan kecil boleh meletus jadi pertengkaran besar hanya kerana hilang sesuatu yang dipanggil sabar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
