Ustazah Asma' tegur pempengaruh wanita buat rawatan ketat, putihkan kemaluan

“SEDIH dan memalukan.”
Demikian komen pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun ketika mengulas mengenai seorang pempengaruh wanita yang secara terang-terang mengakui telah melakukan rawatan mengetatkan dan memutihkan kemaluan.
Tambah Ustazah Asma’, perkara tersebut sepatutnya tidak dihebahkan kepada orang ramai memandangkan ia berkaitan dengan aib dan maruah diri wanita itu sendiri.
“Apabila rasa malu semakin hilang, apabila syariat diletakkan ke tepi, apabila perkara aib dijadikan content.

“Dan sesuatu yang sepatutnya ditutup rapat ditukar menjadi bahan promosi,” katanya di Facebook pada Rabu.
Menurutnya, perbuatan mengetatkan dan memutihkan kemaluan boleh dihukumkan haram walaupun atas alasan untuk suami.
“Boleh jatuh haram buat rawatan alat kelamin tujuan ketat dan cerah walau alasan untuk suami. (Ia) aurat besar dan ubah (ciptaan ALLAH).

“Jangan buka aib diri bercerita buat rawatan tersebut. Ia beri bayangan aib alat sulit,” jelasnya.
Beliau kemudiannya membawakan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara manusia paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang berhubungan dengan isterinya, dan isterinya juga berhubungan dengannya, kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ujarnya, hadis ini bukan hanya tentang suami, bahkan ia merupakan prinsip besar Islam mengenai amanah, maruah dan privasi.
Beliau juga memetik sepotong hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap umatku diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan dosa dan aib secara terbuka.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jelasnya, ALLAH SWT menutup aib manusia, akan tetapi manusia hari ini membuka aib sendiri dan kemudiannya menamakan ia sebagai keberanian, keterbukaan atau sayang diri.
Ujarnya, ALLAH SWT turut berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan keji itu tersebar dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih.” (Surah an-Nur: 19)
Ustazah Asma’ turut membawakan sepotong hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ketika ditanyakan mengenai makan jamu untuk mengetatkan kemaluan wanita, beliau menyatakan boleh memakan jamu untuk tujuan tersebut asalkan ia selamat dan halal.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikelnya bertajuk Irsyad Hukum Siri ke-816: Hukum rawatan ‘Laser Vaginal Tightening’ menjelaskan, prosedur rawatan mengetatkan otot-otot faraj melibatkan proses mengubah ciptaan ALLAH SWT.
“Memandangkan kelonggaran faraj termasuk dalam kategori perubahan semula jadi yang berlaku kepada para wanita disebabkan kekerapan bersalin, penuaan genetik mahupun kerja-kerja berat.
“Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum ialah niat melakukan rawatan tersebut sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahah daruriyyat atau hajiyyat,” jelasnya.
Oleh yang demikian katanya, jika tujuan merawat penyakit atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan bentuk asal serta fungsinya, maka ia dihukumkan harus.
“Ia dikategorikan sebagai maslahah daruriyyat (keperluan mendesak).

“Wanita yang ingin mendapatkan rawatan tersebut hendaklah mengutamakan pilihan doktor Muslim wanita dahulu,” hurainya.
Bagaimanapun katanya, hukum rawatan mengetatkan kemaluan wanita atas tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan, ia dihukumkan haram.
“Selain itu, berlaku fitnah yang besar kerana terdedah aurat yang bukan tujuan keperluan perubatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Ustazah Asma' Harun berkomentar rawatan mengetatkan dan memutihkan kemaluan sebagai sesuatu yang sedih dan memalukan Perbuatan tersebut boleh dihukumkan haram dan tidak sepatutnya dihebahkan Hadis disebut menunjukkan menyebarkan rahsia pasangan adalah salah dari sudut Islam Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan jika rawatan untuk kosmetik atau kepuasan pasangan, ia dianggap haram Rawatan atas dasar keperluan medis dan memulihkan fungsi dihukumkan harus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

