Tidak boleh jamak qasar solat jika musafir ke konsert maksiat – Ustaz Jafri

AGAMA Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur termasuk menghadiri konsert asalkan ia selari dan tidak bercanggah dengan syariat.
Bagaimanapun kebelakangan ini, orang ramai mempersoalkan mengenai rukhsah atau keringanan yang diberikan kepada orang musafir, apakah mereka dibolehkan jamak dan qasar solat sekiranya menghadiri konsert?
Pendakwah, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menjelaskan, bagi menjawab persoalan hiburan dalam Islam, hukum asalnya harus untuk berhibur.
“Islam tidak larang untuk kita hendak berseronok, berhibur dan melepaskan penat.
“Tapi hiburan ini ia jadi haram apabila melanggar syariat. Contohnya seperti mengandungi lirik lucah, pergaulan bebas, mendedahkan aurat, lalai sehingga meninggalkan solat, ada arak dan dadah dan maksiat yang terbuka,” jelasnya dalam rakaman video di TikToknya pada Selasa.

Beliau kemudiannya menjelaskan, konsert tidak terus dihukumkan haram namun jika ada unsur-unsur maksiat, ia boleh menjadi haram.
“Konsert bukan automatik jadi haram, tapi dia jadi maksiat (disebabkan) antaranya percampuran lelaki dan wanita tanpa kawalan, aurat didedahkan bahkan diraikan, ada unsur arak, dadah, seks bebas, lalai sampai meninggalkan solat dan beberapa perkara lagi.
“Jadi, ulama seperti Imam An-Nawawi berkata, kalau satu majlis menghimpunkan perkara maksiat, maka haram kita menghadirinya,” hurainya.
Mengenai persoalan apakah dibolehkan untuk jamak qasar apabila pergi ke konser yang ada unsur maksiat?, beliau menjawab, majoriti ulama mazhab Syafie tidak memberi rukhsah (keringanan) termasuk jamak dan qasar solat kepada pelakunya.
“Kalau perjalanan itu tujuannya maksiat, maka keringanan ibadah itu tidak terpakai.
“Tetapi kalau tujuan asalnya (untuk perkara) harus dan dia tidak mengetahui ada maksiat di dalamnya, maka ia khilaf. Bagaimanapun lebih selamat jangan ambil rukhsah itu,” ujarnya.
Berkaitan dengan isu konsert yang hangat dibincangkan orang ramai di media sosial sekarang, beliau menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian sendiri berdasarkan kepada apa yang telah beliau maklumkan.

“Jadi, kalau rasa nak pergi konsert selepas ini, cuba tengok ciri-ciri yang disebutkan itu. Kemudian boleh nilai sendiri dan fahamlah apa yang sepatutnya kita lakukan,” nasihatnya.
Ringkasan AI
- Islam tidak melarang umatnya berhibur termasuk menghadiri konsert selagi tidak bercanggah dengan syariat
- Hiburan menjadi haram apabila melanggar syariat seperti mengandungi lirik lucah dan pergaulan bebas
- Konsert tidak terus dihukumkan haram namun jadi maksiat jika ada unsur-unsur seperti pergaulan bebas tanpa kawalan dan penggunaan arak dan dadah
- Majoriti ulama mazhab Syafie tidak memberi rukhsah untuk jamak dan qasar solat kepada yang menghadiri konsert dengan tujuan maksiat
- Masyarakat disarankan membuat penilaian sendiri mengenai menghadiri konsert berdasarkan panduan syariat yang diberikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

