Bolehkah lelaki peluk lelaki lembut?

ISU lelaki berpakaian wanita yang muncul pada acara karpet merah sebuah program hiburan televisyen tempatan menimbulkan keresahan masyarakat baru-baru ini.
Golongan agamawan kemudiannya tampil bersuara dan menegur lelaki-lelaki tersebut dan menggesa pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan segera.
Ketika isu ini masih belum reda, pendakwah Ustaz Azhar Idrus dalam satu sesi soal jawab dalam kuliahnya, ditanyakan mengenai hukum memeluk lelaki lembut atau pondan.

Beliau menjelaskan, secara umumnya lelaki dibolehkan memeluk lelaki ketika mereka berdua bertemu dan berpisah.
“Harus untuk lelaki memeluk lelaki. Bagaimanapun, sekiranya (mereka berpeluk) kerana syahwat, hukumnya haram,” jelasnya di akaun YouTubenya pada Jumaat.
Sebagai contoh, ujarnya, perkara tersebut sama seperti mencium pipi mahram sendiri.
“Bolehkah cium pipi kakak kita kerana dia nak pergi melaksanakan umrah?
“(Jawapannya) boleh asalkan dia mahram kita. Tapi kalau cium dengan syahwat, ia haram dan dilarang syarak,” hurainya.
Ustaz Azhar kemudian menasihatkan agar lelaki memeluk perempuan yang halal baginya iaitu isterinya dan begitu juga wanita memeluk lelaki yang halal baginya.
“Sekarang ini zaman LGBT, pelbagai perkara pelik. Jangan lakukan perkara tersebut kerana ia merupakan saki-baki umat umat Nabi Lut AS yang dilaknat ALLAH SWT,” jelasnya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, makruh bagi seorang lelaki memeluk sahabat lelakinya melainkan apabila ingin bermusafir, pulang dari musafir atau lama tidak bertemu.
“Selain itu juga, tidak makruh memeluk individu yang mempunyai hubungan mahram,” katanya dalam artikel Al-Kafi #1990: Benarkah terdapat larangan memeluk sahabatnya apabila bertemu seperti disiarkan dalam laman webnya sebelum ini.

Menghuraikan lebih lanjut katanya, Imam An-Nawawi menukilkan kalam Imam Al-Baghawi, beliau menyatakan bahawa makruh peluk dan cium sesama jantina melainkan kanak-kanak dan pulang daripada musafir.
“Pendapat ini juga bertepatan dengan pandangan Imam Malik yang menyebut bahawa perbuatan tersebut bukan perlakuan bangsa Arab.
“Hal ini kerana Nabi SAW pernah menyarankan untuk bersalaman ketika bertemu sahabat dan melarang berpeluk dan cium serta tunduk hormat,” jelasnya.

Hadis tersebut diriwayatkan Anas bin Malik RA, katanya: “Seorang pemuda berkata: “Wahai Rasulullah, apabila seorang lelaki dalam kalangan kami bertemu saudara atau sahabat lelakinya, bolehkah dia menundukkan kepalanya?
Baginda SAW menjawab “Tidak.” Pemuda itu bertanya: “Bolehkah dia memeluk dan menciumnya?” Baginda SAW menjawab: “Tidak.” Dia bertanya lagi: “Bolehkah dia memegang tangan saudaranya kemudian bersalaman dengannya?” Baginda SAW menjawab: “Ya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Bagaimanapun, peluk dan cium ini tidak dihukum sebagai makruh jika mereka merupakan anak dan mahram serta dilakukan kerana perasaan kasih dan sayang, ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

