GEM dakwa syarikat cuba halang hak pekerja gig

SHAH ALAM - Gabungan Hailing Malaysia (GEM) mendakwa tindakan syarikat ekonomi gig yang mahu Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig diperhalusi hanyalah alasan untuk melambatkan sebarang usaha melindungi pekerja sektor berkenaan.
Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, dalam masa sama mereka juga mahu terus mengaut keuntungan besar tanpa sebarang tanggungjawab.
Menurutnya, ia adalah taktik lapuk syarikat yang mahu mengekalkan status quo iaitu satu sistem yang menindas pekerja gig dengan mengelak daripada memberikan perlindungan asas seperti jaminan sosial, insurans pekerjaan dan hak-hak pekerja yang sepatutnya.
"Cukup-cukuplah dengan alasan. Kami ingin bertanya kepada syarikat ekonomi gig, sudah berapa ramai pekerja gig yang terpaksa menanggung risiko sendiri akibat kecuaian syarikat?
"Sudah berapa lama pekerja gig bekerja tanpa perlindungan yang sewajarnya, sampai bila syarikat mahu terus berdolak-dalik untuk mengelakkan tanggungjawab," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, beberapa syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig menggesa kerajaan untuk memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, praktikal dan tidak menjejaskan ekosistem pekerjaan fleksibel ini.
Dalam kenyataan bersama, syarikat terbabit seperti Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menegaskan bahawa pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja gig serta industri secara keseluruhan.
Mereka menyatakan kebimbangan terhadap beberapa aspek dalam RUU itu, antaranya penetapan piawaian minimum industri secara sehala yang berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.
Tambah Jose Rizal, RUU itu tidak boleh ditunda kerana hak pekerja gig perlu dilindungi sekarang.
"Bukan esok atau tahun depan. Cukuplah pekerja gig menjadi mangsa eksploitasi sistem yang hanya menguntungkan syarikat.
"Oleh itu, kerajaan mesti bertegas. RUU ini harus berpaksikan kepada kepentingan pekerja gig, bukan syarikat yang hanya mementingkan keuntungan mereka sendiri.
"Kami bukan sekadar 'rakan kongsi' seperti yang sering dikatakan oleh syarikat. Kami adalah pekerja yang menyumbang kepada ekonomi negara dan berhak mendapat perlindungan yang adil," ujarnya.
Beliau memberitahu, GEM tidak akan berdiam diri jika syarikat masih mahu menghalang hak pekerja gig.
"Kami akan terus berjuang dan memastikan suara pekerja gig didengari. Cukuplah mereka menekan pekerja gig selama ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

