RUU Pekerja Gig: Usah tunduk desakan syarikat penyedia perkhidmatan

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim digesa agar tidak tunduk terhadap desakan beberapa syarikat penyediaan perkhidmatan Ekonomi Gig yang mahu kerajaan memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 sebelum dibentangkan di Parlimen.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ruang yang secukupnya telah diberikan kepada syarikat-syarikat tersebut termasuk sesi dialog terbuka dan beberapa pencerahan telah diadakan.
Menurutnya, sesi terakhir pencerahan diadakan pada 19 Februari lalu melalui sesi Town Hall oleh Steven Sam sendiri bersama pemegang taruh dan pemain industri.
"Hak pekerja gig juga tidak boleh dinafikan kerana mereka juga telah banyak berkorban untuk negara dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti dan Kebajikan mereka juga perlu diberi pembelaan.
"Oleh demikian, RUU yang dicadangkan adalah satu daripada platform yang terbaik bagi pekerja gig supaya hal ehwal kebajikan mereka tidak dinafikan.
"UNI MLC berharap Yang Berhormat Menteri KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) jangan tunduk di atas desakan tersebut, sebaliknya teruskan hasrat murni Kerajaan Madani untuk membentangkan RUU Pekerja Gig demi masa depan ribuan pekerja gig,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini beberapa syarikat penyediaan perkhidmatan ekonomi gig menggesa kerajaan memperhalusi RUU Pekerja Gig bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, praktikal dan tidak menjejaskan ekosistem pekerjaan fleksibel berkenaan
Mereka menyatakan kebimbangan terhadap beberapa aspek dalam RUU itu, antaranya penetapan piawaian minimum industri secara sehala yang berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.
Sehubungan itu, Mohamed Shafie berharap syarikat-syarikat yang mendesak supaya RUU ditangguhkan agar berfikir panjang.
"Jangan pentingkan keuntungan semata-mata sebaliknya keuntungan syarikat hendaklah seiring dengan kebajikan pekerja-pekerja gig,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
