8 syarikat industri gig gesa kerajaan perhalusi RUU Pekerja Gig sebelum dibentang

SHAH ALAM - Lapan syarikat utama dalam industri ekonomi gig termasuk Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menggesa kerajaan agar memperhalusi draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyatakan kebimbangan beberapa peruntukan dalam draf tersebut masih belum jelas dan mungkin tidak mencapai sepenuhnya objektif yang dimaksudkan untuk pekerja gig dengan lebih meluas dalam industri.
Menurut kenyataan itu, sedangkan sebelum RUU dibentangkan kepada Parlimen sangat penting untuk memastikan peruntukannya jelas, praktikal dan boleh dilaksanakan.
"Aspek utama RUU memerlukan penghalusan untuk mencerminkan realiti kerja gig, menangani cabaran kebolehlaksanaan dan menutup kelemahan atau bahaya.
"Tanpa rangka kerja pelaksanaan yang jelas dan komprehensif, terdapat risiko besar RUU boleh menganggu kerja gig secara tidak sengaja, mengurangkan peluang pendapatan bagi pekerja gig dan menghalang pertumbuhan inovasi sektor ini," katanya pada Khamis.
Syarikat-syarikat terbabit turut mempersoalkan kejelasan mengenai mekanisme sumbangan perlindungan sosial bagi pekerja gig yang bekerja di beberapa platform berbeza.
Mereka berkata, sebagai contoh, pekerja yang memandu untuk platform e-hailing di waktu pagi dan menghantar makanan di waktu malam berdepan risiko dikenakan sumbangan berganda, sekali gus membebankan mereka dari segi kewangan.
"Kekeliruan ini boleh menghalang penyertaan pekerja dalam ekonomi gig dan memberi kesan kepada pemain industri tempatan yang lebih kecil," jelasnya.
Justeru, mereka mengemukakan dua cadangan utama iaitu kajian kebolehlaksanaan dan impak, menjalankan kajian menyeluruh di seluruh negara melibatkan platform dan pekerja gig melalui soal selidik serta pengumpulan data.
"Kedua, ujian kawal selia (Regulatory Sandboxing). Ia menguji beberapa peruntukan utama dalam persekitaran terkawal untuk mengumpul maklum balas, menilai keberkesanan, dan memperbaiki kekurangan sebelum pelaksanaan penuh.
"Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan RUU ini bersifat praktikal, mampan, dan melindungi pekerja gig tanpa menjejaskan pertumbuhan industri," kata kenyataan itu.
"Kami turut sedia untuk berkongsi kepakaran dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan RUU ini dapat dilaksanakan secara adil dan efisien," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

