Lapan syarikat kontraktor didenda RM93 juta tipu bida tender kerajaan

Iskandar pada sidang media yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Iskandar pada sidang media yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan syarikat kontraktor dikenakan denda hampir RM93 juta susulan terlibat dalam kartel tipu bida tender dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS).

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata, dua tender JKR yang dikesan melibatkan Pakej 3 Projek Central Spine Road (CSR) iaitu Tender CSR: 3B & 3C dan Tender CSR: 3J, manakala tender daripada JPS pula adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh, yang bernilai RM474 juta pada tahun 2019.

"Penalti dikenakan ekoran terdapat keputusan pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

"Dalam hal ini MyCC telah menjalankan serbuan, mengumpul maklumat dan menjalankan analisis mendalam terhadap bukti-bukti berkaitan," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Enam syarikat yang terlibat dalam kes tipu bidaan itu adalah Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd yang berpakat dalam semua tiga tender.

Dua lagi syarikat, iaitu NYL Corporation Sdn Bhd terlibat dalam kedua-dua tender JKR, manakala Kiara Kilat Sdn Bhd hanya terlibat dalam satu tender JKR.

Menurut Iskandar, modus operandi kumpulan kartel ini didalangi oleh Mangkubumi Sdn Bhd, manakala operasi berpusat dijalankan di Pintas Utama Sdn Bhd.

Katanya, pemeriksaan oleh MyCC di premis Pintas Utama menemui hampir semua bukti utama.

"Penyiasatan mendapati percaturan untuk membida tender dilakukan melalui perkongsian maklumat melalui e-mel, mesyuarat dan penyediaan dokumen tender secara fizikal di premis Pintas Utama.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi ini digunakan oleh kumpulan kartel tersebut yang melibatkan ketiga-tiga projek," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!