Pengetua, guru besar harus berperanan sebagai pemudah cara

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi (tengah) bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan (kiri) bergambar bersama para Pegawai Pendidikan pada Majlis Amanat Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026 di Kementerian Pendidikan pada Jumaat. Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi (tengah) bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan (kiri) bergambar bersama para Pegawai Pendidikan pada Majlis Amanat Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026 di Kementerian Pendidikan pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengetua dan guru besar harus berperanan sebagai pemudah cara dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif kepada guru.

Berucap di majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, selaku pentadbir sekolah, pengetua dan guru besar juga perlu memberi autonomi yang bersesuaian kepada guru.

Menurutnya, kepimpinan yang berkesan merupakan tunjang utama dalam memastikan sistem pendidikan berkualiti.

"Dalam usaha kita memperkukuh sistem pendidikan negara, saya ingin menegaskan bahawa kepimpinan yang berlandaskan musyawarah amat penting dalam memastikan hala tuju pendidikan yang mampan dan berdaya saing," katanya pada Jumaat.

Ujar beliau, pendekatan kepimpinan strategik perlu terus diperkasakan agar mampu menangani pelbagai cabaran dan krisis dengan berkesan serta meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan secara bersepadu.

"Justeru latihan kepimpinan perlu diperkukuh dengan memberi penekanan kepada kepimpinan yang membuat keputusan berasaskan data, pemantauan berasaskan bukti serta penyelarasan program pembangunan kepimpinan profesional yang lebih sistematik di peringkat pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN)," jelas Azman.

Menurutnya, KPM akan terus memperkasa guru melalui Pembangunan Profesionalisme Berterusan, penggunaan teknologi dalam pengajaran khususnya kecerdasan buatan serta bimbingan profesional yang berfokus.

"Profesionalisme guru merupakan elemen penting dalam memastikan mutu kualiti pendidikan yang tinggi.

"Peningkatan profesionalisme guru bukan sahaja melibatkan pemantapan ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi, tetapi juga membentuk sikap, etika dan komitmen yang tinggi terhadap profesion keguruan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, pendekatàn itu merupakan sebahagian daripada lapan keutamaan KPM pada tahun ini untuk memudahkan semua pengoperasi pendidikan sama ada di peringkat KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah mahupun sekolah.

"Saya memberi fokus bagaimana kita perlu memperkemaskan gerak kerja untuk menyambut reformasi pendidikan kerana kemenjadian anak-anak mesti berpaksi dan bermulanya daripada bilik darjah.

“Pada akhirnya, kita mampu untuk memastikan sekolah di seluruh negara menjadi sekolah yang berkualiti dan anak-anak ini menjadi anak generasi Madani yang kita hasratkan,” katanya.

Lapan keutamaan yang menjadi fokus KPM adalah mengatasi isu keciciran murid, pengukuhan kepimpinan pendidikan Madani, peningkatan profesionalisme guru dan penguasaan literasi dan numerasi murid.

Selain itu, KPM akan memastikan kesejahteraan sekolah, membentuk generasi Madani yang holistik, mengukuhkan pencapaian pentaksiran antarabangsa dan mereformasi sekolah untuk kecemerlangan.

Dalam pada itu, Azman merakamkan penghargaan dan tahniah kepada cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari SK Long Sebangang, Sarawak yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Kejayaan Cikgu Muhammad Nazmi sebagai salah seorang daripada 10 finalis terbaik Hadiah Guru Global 2025 membuktikan bahawa dedikasi dan inovasi beliau dalam pendidikan layak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Dengan semangat juang yang tinggi dalam memperjuangkan pendidikan untuk anak bangsa, beliau bukan sahaja memberi impak besar dalam bilik darjah tetapi juga menerajui pelbagai inovasi yang mengagumkan.

"Pencapaian ini amat membanggakan dan sewajarnya diraikan. Tahniah diucapkan kepada Cikgu Muhammad Nazmi!," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!