KPM patut beri penjelasan sindiket tawar pinjaman kepada guru - Maszlee

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau pun mana-mana pihak diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung sindiket tawaran pinjaman oleh syarikat perunding kewangan kepada penjawat awam terutamanya guru.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sepanjang pengetahuannya KPM tidak pernah membenarkan mana-mana pihak swasta untuk menggunakan sekolah dan guru bagi tujuan komersil, apatah lagi pelaburan.
“Saya dihubungi pihak media bertanyakan mengenai isu ini. Sejujurnya saya tiada apa-apa maklumat, malah sepengetahuan saya KPM tidak membenarkan pihak swasta menggunakan sekolah dan guru untuk tujuan komersil, apatah lagi pelaburan.
“Justeru, bolehkah mana-mana pihak memberikan pencerahan mengenai isu ini? Seeloknya KPM sendiri yang tampil menjawab demi menghilangkan kekeliruan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal bagi membantu siasatan.
Ia berkaitan sindiket tawar pinjaman melibatkan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky, baru-baru ini.
Azam memberitahu, siasatan dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).
Difahamkan, selain penyanyi terkenal, seorang ikon inspirasi juga akan dipanggil berhubung siasatan Op Sky yang dijalankan bersama Bank Negara Malaysia (BNM).
Berdasarkan siasatan awal, artis-artis berkenaan dibayar sehingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka untuk meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan terbabit.
SPRM juga berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan terbabit serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan AML SPRM dengan kerjasama BNM di 24 lokasi meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Media melaporkan, sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah serta pengubahan wang haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

